SIMPANG RENGGAM – Datuk Ab Mutalip Abd Rahim yang cukup terkenal dengan khidmat cemerlangnya di Dewan Undangan Negeri Layang-Layang sebelum ini pastinya sukar digugat oleh calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Keyakinan itu dizahirkan oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif Hadir yang menyertai jentera Barisan Nasional (BN) di DUN Layang-layang.
Beliau percaya Maszlee sukar mendapat kepercayaan pengundi lagi kali ini selepas beliau yang berjanji sakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu gagal menunaikan janji-janji yang ditabur.
“DUN Layang-Layang terletak di Parlimen Simpang Renggam yang terkenal kerana janji ‘hapus tol dan tidak perlu membayar PTPTN.
“Sudahlah gagal memenuhi janji-janjinya, dia sekali lagi muncul untuk bertanding di sini dengan harapan dapat undi.
“Memang sukarlah dapat undi dari pengundi-pengundi di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika ditanya peluang calon BN yang berdepan dengan Maszlee.
Mohd Salim yang turun bersama jentera BN untuk membantu kempen Ab Mutalip berkata, yang pasti pengundi di DUN Layang-Layang cukup derik dengan parti-parti yang hanya bermodalkan cakap-cakap kosong serta fitnah.
Yang pasti katanya, Maszlee tidak ada peluang lagi untuk ‘menjual’ janji-janjinya di DUN ini.
Lagipun, tambah beliau, Ab Mutalip yang mewakili BN merupakan penyandang kerusi itu pada 2013 dan bukan asing kerana pernah menang dan memiliki trek rekod cemerlang.
Ab Mutalip adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang sejak 2013 sehingga 2018.
Tetapi pada PRU-14, beliau tidak tercalon semula apabila BN meletakkan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menang tipis dengan majoriti 364 undi menewaskan M.Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (Pas).
Selain Maszlee, Ab Mutalip turut dicabar oleh K Alagathiran yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ahmad Shafiq Othaman. – MalaysiaGazette
Pakatan Hancing janji hapus TOL dan ptptn AKHIRNYA mereka jadi TOLOL dan TOYOL