Calon Barisan Nasional (BN) N.09 Gambir, Sahrihan Jani (kanan) bergambar dengan bapa pengantin, Jazali Othman (empat kiri) serta tiga pasangan pengantin ketika berkempen di salah satu majlis perkahwin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022.
Calon Barisan Nasional (BN) N.09 Gambir, Sahrihan Jani (kanan) bergambar dengan bapa pengantin, Jazali Othman (empat kiri) serta tiga pasangan pengantin ketika berkempen di salah satu majlis perkahwin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022.

TANGKAK – Rata-rata pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir menyatakan kesediaan mereka untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

Itu kesimpulan calon BN, Sahrihan Jani selepas memasuki hari kelapan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Calon muka baharu itu berkata, setakat ini tiada respon negatif yang dilemparkan kepadanya sejak mula berkempen pada 26 Februari lalu.

“Dalam UMNO saya dididik untuk berbakti dan menyemai jasa kepada rakyat dan itu kita laksanakan. Saya tak nampak pula respon yang negatif daripada mereka.

“Mereka suka dan teruja apabila calon baharu itu ditampilkan dan saya adalah anak tempatan dan anak jati yang lahir di sini dan membesar di sini.

“Saya dapat mengenali mereka dan saya dapat memahami dengan lebih mendalam denyut nadi mereka,” katanya ketika ditemui MalasiaGazette sekitar siri kempen di sini hari ini.

Mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Ledang itu memberitahu, sepanjang tempoh berkempen, ia merupakan situasi yang menyeronokkan kepadanya dan jenteranya.

Ini kerana beliau dapat menyantuni setiap pengundi DUN Gambir dalam misi untuk meraih undi daripada masyarakat sekitar kawasan ini.

“Ini adalah tempoh yang paling menyeronokkan untuk saya kerana saya adapat berjumpa dengan ramai pengundi dan setakat ini respon yang saya dapat sangat positif.

“Salah satunya mereka teruja sebab ini kali pertama BN menurunkan calon UMNO tukar dengan MIC.

“Anak-anak muda juga nampak gembira apabila calon muda ditampilkan di DUN Gambir ini, jadi respon positif yang saya dapat daripada kempen selama lapan hari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sahrihan  tidak akan menggunakan pendekatan ceramah menyentuh peribadi calon oleh pihak lawan.

Katanya, rakyat tidak lagi perlu dihidangkan dengan strategi buruk pihak lawan semata-mata untuk meraih undi.

“Saya fikir itu adalah pendekatan politik lapuk dan rakyat tidak lagi dihidangkan dengan cara politik kotor seperti itu, rakyat nak melihat parti mana yang boleh membawa pembaharuan dan kebaikan kepada mereka.

“Sepatutnya rakyat hari ini tidak lagi dihidangkan dengan cerita politik tahun 1980-an. Kita perlu menyatakan misi dan visi kita apa yang kita boleh bantu rakyat bila kita menang.

“Kalau nak berkempen sedemikan terpulang kepada pada penilaian masyarakat tapi saya di sini setakat ini saya tidak pernah menyerang peribadi calon mahu pun mana-mana parti malah dalam ucapan saya merekodkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas jasa yang telah dilakukan di Bukit Gambir tapi medan pertempuran kini dibuka,” katanya lagi.

DUN Gambir menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sahrihan dengan calon Parti Pejuang Tanah Air, Suraya Sulaiman; calon Perikatan Nasional, Mohd Solihan Badri dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Naim Jusri.

Pada PRU-14 yang lalu, Muhyiddin yang ketika itu bertanding sebagai calon Pakatan Harapan menang  kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,088 undi menewaskan calon BN, Datuk M. Asojan dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Asojan merupakan bekas ADUN Gambir bagi kawasan Parlimen Ledang selama tiga penggal sebelum tewas pada PRU-14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast