PAGOH – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Sahruddin Jamal sedia menggalas tugas sebagai calon menteri besar gabungan itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya diputuskan Majlis Tertinggi (MT).
Malah, beliau akan bekerja keras bagi memenangkan gabungan itu.
“Saya hanya menjalankan amanah jika diberikan. Saya akan menjalankan tanggungjawab itu sebaik mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di sekitar Pekan Grisek, hari ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon menteri besar daripada gabungan itu akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh Majlis Tertinggi PN, hari ini.
Tambah Hamzah, beberapa calon sudah disenarai pendek sebelum mengambil kira beberapa kriteria tertentu.
Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) itu menambah, semua calon PN layak untuk disenaraikan sebagai calon menteri besar termasuknya.
“Kita semua 56 calon Perikatan Nasional di Johor semua layak jadi menteri besar, jadi kita serahkan kepada pucuk pimpian untuk memilih siapa yang terbaik.
”Sebagai ahli parti kita akur, yang penting kita kena bekerja keras memastikan PRN menang sebanyak mana kerusi yang boleh untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.
Khabar angin ketika penamaan calon pada 26 Februari lalu berat menyatakan Sahruddin akan diangkat sebagai calon menteri besar kerana beliau merupakan pemimpin kanan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.
Ditanya mengenai penerimaan pengundi Bukit Kepong, Sahruddin berkata, rata-rata pengundi di Bukit Kepong mengenali beliau dan sedia untuk memberikan undi kepada beliau.
“Setakat ini mereka kenal saya dan saya sering turun ke kawasan dan buat program. Saya beri bantuan tidak memilih latar belakang parti.
“Daripada parti mana pun, kita akan kerjasama yang penting masyarakat di kawasan ini mendapat bantuan dan pembangunan yang sewajarnya untuk kita pastikan masyarakat gembira dengan khidmat yang kita bagi,” katanya lagi.