KUALA LUMPUR – Seramai 434 graduan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-61, hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada 7,682 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada 17 sidang pada 5 hingga 13 Mac 2022 ini.

Daripada jumlah itu, 454 graduan menerima Ijazah Kedoktoran, 2,318 graduan menerima Ijazah Sarjana termasuk Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 3,940 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 970 graduan menerima Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan Diploma.

Pro Canselor UM, Tan Sri Siti Norma Yaakob berkata, universiti itu sentiasa menjadi perintis dalam melahirkan ramai graduan yang menjadi penggerak kepada kemajuan dan pembangunan negara sehingga dapat menyumbang ke peringkat antarabangsa.

Katanya, para graduan perlu memanfaatkan ilmu yang dipelajari bagi membawa kemajuan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Universiti Malaya atas kejayaan meraih kedudukan ke-65 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2022 selain
tempat kelapan terbaik di Asia, ketiga terbaik di Asia Tenggara, dan masih mengekalkan universiti terbaik di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen itu, hari ini.

Pembukaan sidang pertama yang berlangsung semalam disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Canselor, UM.

Pada majlis konvokesyen semalam, gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada Profesor Dr. Azirah Hashim, Profesor Dr. Ng Kwan Hoong dan Profesor Dr. Liam Chong Kin.

Selain itu, Amir Firdaus Eddy Rosyadie dan Chew Wei Xian dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast