Calon PH N08 Bukit Pasir, Elia Nadira Sabudin (kiri) dan calon yang juga penyandang DUN Maharani, Nor Hayati Bachok.

MUAR – Dua calon wanita Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan Bukit Pasir yakin parti gabungan itu mampu untuk menguasai kedua-dua kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon dan juga penyandang kerusi DUN Maharani, Nor Hayati Bachok berkata, rakyat di negeri Johor khususnya Maharani akan terus memberi sokongan kepada PH seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Sudah lebih seminggu berkempen, kita dapat berjumpa dengan semua lapisan pengundi di PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan menerima sokongan sangat padu (diterima) khususnya di DUN Maharani.

“Justeru dari apa yang dilihat, saya yakin rakyat negeri Johor akan terus memberi sokongan kepada PH,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada siri kempen PH di Kampung Sungai Terap di sini.

Mengulas mengenai pertembungan enam penjuru di DUN Maharani, Timbalan Ketua Wanita Amanah Nasional itu memaklumkan calon-calon yang bertanding kali ini merupakan rakan sekapal yang pernah bekerja bersama-sama dalam PRU14 yang lalu.

“Empat calon selain dari UMNO adalah rakan kita dahulu, mereka juga bekerja bersama-sama dalam PRU14 dan apabila berlakunya pengkhianatan langkah Sheraton, mereka yang empat orang ini membuat keputusan mereka tersendiri.

“Selepas penamaan calon, kita pun kerap berjumpa ketika berkempen, saya kira tidak ada masalah atau marah cuma ada sedikit perbezaan pendapat tentang parti, sebab itu kita akan pastikan BN tidak menang khususnya di DUN Maharani ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keyakinan untuk terus mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu pada PRU14, Noor Hayati cuma berharap supaya jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada 12 Mac ini melebihi 70 peratus.

Beliau menjelaskan sekiranya peratusan keluar mengundi adalah tinggi dan mencapai sasaran, maka tidak mustahil untuk PH menang di DUN Maharani.

“Kalau 70 peratus rakyat keluar mengundi, saya yakin memang menang tapi kalau 50 atau 60 peratus sahaja, (mungkin) kita tak berapa yakin serta risau.

“Sebab itu kita kempen supaya seramai mungkin rakyat keluar mengundi seperti pada PRU14,” katanya.

Sementara itu, calon N08 Bukit Pasir, Elia Nadira Sabudin menganggap penyertaannya sebagai calon wanita tunggal di kawasan berkenaan mampu memberi kelebihan yang tersendiri.

Elia Nadira yang juga merupakan Pengerusi Biro Ekonomi Kewangan Wanita Amanah Nasional itu berkata, PH menerima sambutan yang baik daripada para pengundi terutamanya dari kaum Tionghua.

“Saya tengok budaya politik yang sangat baik di sini oleh semua pihak, sambutan kepada PH juga baik terutama dari kaum Tionghua dan tidak lupa juga di peringkat pengundi Melayu, kita nampak mereka tidak menolak.

“Mereka menerima kita dengan sangat baik cumanya apa pilihannya nanti itu kena tunggu lah,” ujar wanita berusia 38 tahun itu.

Tambah Elia Nadira lagi, pergeseran yang berlaku di antara penyandang kerusi DUN Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep dengan bekas partinya iaitu Pas turut membuka peluang yang luas kepada PH.

“Mungkin akan bawa kelebihan kepada saya selepas penyandang itu sendiri bertanding sebagai calon bebas melawan partinya terdahulu, walaupun beliau mempunyai pengundi teras sendiri di bawah tapi ia masih boleh memberi harapan kepada PH,” katanya.

DUN Maharani yang berada di bawah Parlimen Muar menyaksikan pertandingan enam penjuru di antara PH dengan calon dari Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; Noor Farah Shamsudin (BN), Abdul Aziz Talib (Perikatan Nasional), Riad Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon bebas, Lim Kim Joo.

Manakala, DUN Bukit Pasir turut menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara Elia Nadira (PH) dengan calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Mohd Akhiri Mahmood, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Iqbal Razak (Perikatan Nasional) serta dua calon bebas, Johar Siraj dan Najib Lep. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast