Calon BN DUN Semarang, Datuk Shamsol Bari Jamali.

AYER HITAM – Rata-rata pengundi sudah celik dan sudah sedar siapakah sebenarnya pemimpin dan parti yang benar-benar peduli dengan kebajikan, kemajuan dan ekonomi rakyat di negara ini.

Malah pengundi juga sudah insaf kerana termakan dengan pelbagai janji kosong ditambah pula dengan segala macam fitnah termasuklah negara akan bankrap jika kuasa memerintah itu diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Itu antara luahan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Semarang, Datuk Shamsol Bari Jamali yang juga merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas dan Kemajuan Luar Bandar.

Kata penyandang DUN Semarang selama tiga penggal itu, rakyat khasnya pengundi di Johor kecewa dengan keputusan tergesa-tergesa sebelum ini yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana apa yang di harapkan itu tidak pernah kunjung tiba, sebaliknya hanya alasan demi alasan diberikan.

Namun kata Shamsol Bari, kali ini kebanyakan mereka sudah tahu dan serik setelah melihat ‘warna sebenar’ wakil rakyat yang di undi itu.

“Kalau dulu mereka kata ini kali lah, kini mereka kata cukuplah sekali.

“Pengundi tahu siapa itu pemimpin bermusim dan siapa itu pemimpin yang ada sepanjang masa tidak kisah masa susah atau senang, pilihan raya atau tidak dan ada kuasa atau tidak. Mereka sudah tahu.

“Kebajikan itu sebati dengan UMNO BN. Kita adalah parti yang ada sepanjang musim, hujan panas, siang malam, susah senang kita sudah ada berpuluh-puluh tahun dan bukannya muncul tiba-tiba kemudian menghilang,” katanya selepas aktiviti gotong royong dan membaiki rumah penduduk di Olak Batu di sini hari ini.

Calon BN DUN Semarang, Datuk Shamsol Bari Jamali bersama-sama melakukan gotong royong bersama penduduk setempat.

Untuk makluman selain Samsol Bari daripada BN yang mewakili parti UMNO, tiga lagi calon yang layak bertanding ialah Adzlan Raju daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Haryati Abu Nasir daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Shazani A Hamid daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-14, Samsol Bari memenangi kerusi DUN Semarang dengan undi 10,751 dan majoriti 5,842 menewaskan Zais Mohd Akil (PKR) dan Mohd Bakri Samian daripada Pas.

Dalam pada itu, Shamsol Bari juga mendedahkan beliautidak begitu terjejas dengan perjalanan kempennya berikutan sekatan dan SOP ketat oleh KKM dan SPR sebaliknya selesa dengan semua garis panduan itu.

“Saya bukan baru di sini, turun kempen kerana PRN tetapi saya sudah ada sejak berbelas tahun. Semua aktiviti kebajikan oleh saya sebagai wakil harian adalah rutin dan telah jadi sebati. SOP itu kita ikut tapi kehidupan ini biasa dengan norma baharu ini.

“Malah SOP ini perlu kita didik kepada semua, perlu ada pengetahuan kerana akhirnya itu untuk kebaikan diri sendiri. Jadi pada saya, tidak ada isu langsung,” ujarnya.

SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dan 8 Mac bagi hari mengundi awal.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast