SEGAMAT – Meskipun masyarakat orang Asli tidak giat berpolitik namun golongan ini memilih untuk taat kepada pemimpin yang dipilih sebagai pemerintah menerusi amalan sistem demokrasi.
Namun tidak bermakna mereka tidak keluar mengundi kerana menurut Tok Batin Kampung Puting, Azman Tey Pia, 37, masyarakat di situ sentiasa menunaikan tanggungjawab termasuk semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Tambah Azman, menjadi kebiasaan peratus keluar mengundi adalah 100 peratus kerana mereka tidak mahu terlepas peluang untuk memilih calon pemimpin.
Katanya, masyarakat orang Asli juga taat kepada perintah Sultan dan pemimpin masyarakat yang dipilih asalkan mereka memberi perhatian dalam membela nasib mereka.
Jelas Azman, kepimpinan orang Asli yang diuruskan Tok Batin dipilih secara adat dan demokrasi juga menjadi amalan masyarakat orang Asli untuk memilih calon wakil rakyat nanti.
“Kita mengharapkan Yang Berhormat yang memahami budaya kami, berdedikasi, lebih berpengetahuan dan boleh melindungi kaum orang Asli,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Azman dari suku kaum Jakun baru mengambil alih pucuk pimpinan jawatan Tok Batin enam bulan lalu menguruskan Kampung Puting yag dibuka sejak ratusan tahun lalu dan kini didiami oleh 57 keluarga serta 250 penduduk.
Katanya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan banyak membantu ke arah pengurusan pembangunan masyarakat orang Asli yang lebih berkesan.
Sementara itu, Pengerusi MPKKOA Kampung Puting, Ujang Temilang, 54, berkata mereka sentiasa menyokong dasar kerajaan pemerintah dan mengambil sikap terbuka dalam amalan demokrasi.
“Kita tidak melarang semua parti di DUN Buloh kasap berkempen dengan meletakkan bendera pelbagai parti serta menggantung poster kempen,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kemudahan elektrik, air dan kemudahan infrastruktur lain seperti surau, dewan, sekolah sudah lengkap di perkampuangan orang asli. – MalaysiaGazette