Ahmad Zahid Hamidi

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa tidak tidak pernah berniat jadi perdana menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Presiden UMNO dalam kenyataannya mempersoalkan Muhyiddin yang mendakwa Ahmad Zahid mahu menyokongnya menjadi perdana menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan.

Tetapi, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin tidak pula berkata bagaimana proksi-prokasinya berusaha gigih memujuk wakil rakyat bukan PH termasuk daripada UMNO agar menyokongnya jadi perdana menteri.

Ahmad Zahid berkata, beliau sebolehnya enggan mengulas tentang Muhyiddin kerana UMNO ada agenda yang lebih penting rakyat Johor untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan dikembalikan di Johor pada 12 Mac ini.

Namun, Muhyiddin tidak henti-henti ‘menyeru’ namanya.

Beliau mengungkit, Muhyiddin menjanjikan sebuah perpaduan yang jujur dan ikhlas atas nama Melayu dan Islam, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dengan kuasa sebagai perdana menteri.

Dakwanya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mahu memperkukuhkan kedudukan partinya dan jawatannya dengan cuba melemahkan UMNO serta ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO.

Mungkin kerana itu Muhyiddin didakwa begitu marah kepada Ahmad Zahid, pimpinan serta ahli akar umbi UMNO kerana dapat menghidu muslihatnya dan bertindak.

”Mari kita fikir sejenak apakah seseorang yang mengaku dirinya tidak pernah berhasrat menjadi perdana menteri akan cuba ‘menyogok’ ahli Parlimen secara terbuka di kaca TV supaya menyokongnya kekal sebagai perdana menteri gara-gara terdesak?

”Apakah seseorang yang tidak mengidamkan jawatan perdana menteri dalam kata-kata terakhir kepada pegawai-pegawainya di Putrajaya membayangkan dia akan kembali sebagai perdana menteri?

”Apakah seseorang yang tidak pernah mahu menjadi perdana menteri dalam ceramah politiknya sempena PRN Johor menyatakan kemungkinan dia akan menjadi perdana menteri sekali lagi?,” asak Ahmad Zahid lagi.

Kata Presiden UMNO itu lagi, Muhyiddin mendakwa Bersatu meninggalkan PH yang disertai DAP tidak menyokong dasar-dasar dan hak keistimewaan orang Melayu serta agama Islam.

Sedangkan, kenyataan Muhyiddin agak sukar dihadam kerana dia dan Bersatu bersama DAP bukan cuma selama 22 bulan, malah saling bermesraan sejak Mac 2017 iaitu sebelum PRU-14 diadakan pada 9 Mei 2018.

”Apa yang pasti Bersatu hanya keluar PH selepas kekalahan demi kekalahan PH dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) terutama kekalahan calon PPBM pada PRK Semenyih dan Tanjung Piai.

”Justeru, rakyat Johor yang akan mengundi pada PRN Johor pada 12 Mac ini perlu berhati-hati dengan kepakaran putar belit mereka yang sudah terbukti sejak PRU-14,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast