Jaafar Kasim dan isteri Norkiah Ibrahim

MELAKA – “Hampir lima dekad berkahwin, banyak pahit manis dihadapi dalam rumah tangga dan program sebegini sangat baik kerana ia nyata dapat menyegarkan semula rasa kasih sayang dan cinta yang semakin ‘senja’,” kata Jaafar Kasim.

Bekas pesara guru berusia 77 tahun itu adalah antara 20 pasangan warga emas yang diraikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Program Pasca Perkahwinan Islam Negeri Melaka 2022 ‘Cinta Penghujung Senja’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Program selama tiga hari bermula Jumaat lalu itu disertai pasangan yang sudah lebih 25 tahun mendirikan rumah tangga dengan pelbagai pengisian seminar, bengkel dan latihan yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang ceria serta penuh kasih sayang antara pasangan.

Menurut Jaafar, dia dan isteri, Norkiah Ibrahim, 70, tidak sangka terpilih menyertai program terbabit selepas menghantar permohonan memandangkan mungkin ramai yang lebih layak menyertainya.

“Mungkin juga sudah rezeki, kami sekali lagi dapat naik pelamin di hotel ini selepas 48 tahun usia perkahwinan dan dikurniakan empat anak serta 10 orang cucu.

“Ia satu program yang sangat bagus untuk memugarkan semula cinta pada perkahwinan yang mungkin sudah pudar sedikit kerana asam garam masalah rumahtangga,” katanya yang berkahwin pada usia 29 tahun dan isteri 22 tahun.

Bagi Norkiah, sentiasa berpegang kepada amanah Allah untuk saling melengkapi segala kekurangan antara mereka menjadi resepinya kekal dalam rumahtangga yang terbina hampir lima dekad lalu.

“Sejak hari pertama bernikah, saya sudah tanamkan di dalam hati untuk jadi isteri yang sehabis baik untuk suami, begitu juga dengannya dan sentiasa bersama menempuhi pahit manis kehidupan.

“Saya harap, program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai warga emas dapat menjadi sumber inspirasi pasangan muda yang baru berkahwin,” katanya.

Antara peserta program

Sementara itu Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin dalam ucapan perasmiannya berkata, program berkenaan merupakan kursus yang pertama kali diadakan di Melaka menggunapakai Modul Pasca Perkahwinan Islam dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Modul itu, menurutnya, mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam di seluruh Malaysia, agensi-agensi kerajaan seperti Bahagian Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), perunding psikologi, perunding kewangan serta pensyarah-pensyarah universiti.

“Kehidupan berkeluarga hari ini semakin sukar dan kompleks seiring dengan perkembangan teknologi media dan komunikasi yang sedikit sebanyak menggugat kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga.

“Kos sara hidup yang tinggi, trend gaya hidup moden, masih ramai juga yang cetek ilmu agama, dan ada juga pihak yang hendak menjadi ‘ustaz jadian’ memberikan pandangan yang kontras daripada fahaman Islam sebenar,” katanya.

Justeru, beliau berkata, program tersebut diharap dapat ‘membaja’ semula dengan kasih sayang dan cinta, seperti masa awal usia percintaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast