Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor (Zon Utara) di Hotel Traders Muar hari ini.

MUAR – Orang Melayu dan umat Islam di negara ini lebih menyukai parti politik yang bersatu serta menjalin kerjasama seperti yang pernah ditonjolkan oleh gabungan Muafakat Nasional (MN).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak dapat dinafikan bahawa kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi Piagam MN begitu disenangi oleh rakyat.

“Saya tak kecewa kerana parti belum buat keputusan, pada saya MN masih ada dan paling penting dalam hati orang Melayu dan Islam mereka suka kepada (parti politik) yang bersatu dan bekerjasama.

“Saya tak silap kerana dalam hati kecil orang Melayu, mereka suka akan kerjasama dan saya tengok macam di Johor ini saya rasa ramai yang sokong Pas masih boleh sokong Barisan Nasional (BN) sebab dalam hati carik-carik bulu ayam tetapi tidak boleh terputus.

“(Sebab) itu jangan kita nafikan kerana rakyat memang suka dan senang hati melihat pemimpin-pemimpin bersederhana dan bermuafakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor (Zon Utara) di Hotel Traders Muar hari ini.

Terdahulu Annuar ditanya sama ada beliau secara peribadi merasa kecewa tentang kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi gambaran bahawa parti itu tidak akan membuat penilaian terbaharu terhadap kerjasama dengan Pas menerusi gabungan MN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Agung BN itu berkata, setakat ini masih tiada apa-apa keputusan secara rasmi di mana-mana peringkat parti mengenai MN.

Bagaimanapun, beliau tetap menghormati perbezaan pendapat serta pandangan yang disuarakan oleh semua pihak.

“Semua orang ada hak untuk mengeluarkan pendapat tetapi pandangan saya, dari sudut parti kita kena tunggu sehingga parti membuat keputusan secara rasmi.

“Sewaktu kita membentuk MN dahulu pun kita buat ikut jalur parti ketika saya Setiausa Agung, kita bawa kepada biro politik, majlis kerja tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Justeru, saya sebagai orang parti, apa yang parti putuskan itu lah yang kita pegang selain mengambil dasar menghormati pandangan yang diberikan secara individu,” ujarnya.

Pada Khamis, media melaporkan persaingan antara Pas yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan UMNO yang mewakili BN dalam PRN Johor didakwa belum menjadi penamat kepada hubungan dua parti itu dalam MN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, arah tuju MN yang membabitkan gagasan kerjasama penyatuan ummah antara parti itu dengan UMNO akan dinilai semula selepas selesainya PRN Johor pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette