Ahmad Zahid ketika berceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Parit Kemang, Parit Yusof di sini, hari ini.

MUAR – Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan oleh parti lawan sepanjang tempoh berkempen pada Plihan raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu adalah lumrah dalam berkempen tidak kira pada Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN, mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, rakyat dan pengundi bijak untuk menilai dan mereka boleh menentukan sama ada ia benar ataupun fitnah.

“Pilihan Raya Umum (PRU14) telahpun memberikan pengajaran yang terlalu mahal untuk pengundi-pengundi yang melakukan kesilapan itu…maka tiba masanya pengundi Johor kembali ke pangkal jalan (tidak melayan fitnah),” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah pilihan raya di Kampung Parit Kemang, Parit Yusof di sini, hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rakyat Johor tahu perjuangan UMNO dan parti-parti komponen BN yang ternyata jelas rekodnya dan boleh memberikan perkhidmatan terbaik untuk negeri ini sebelum datangnya PRU14.

Sementara itu, ditanya sama ada kelebihannya bertutur bahasa Jawa satu kelebihan, Ahmad Zahid berkata, ia bergantung kepada pemahaman hadirin yang mendengar.

“Dalam teori komunikasi kita mesti lihat bahasa, kita mesti bercakap dalam bahasa (tertentu).

“Kalau audiens atau khalayak itu memahami dan amat dekat di hati mereka walau apa bahasa yang digunakan termasuk Mandarin ataupun Tamil maka sebaik mungkin kita gunakan bahasa yang dekat di hati mereka.

“…maka tidak salah kalau saya kebetulan lancar dalam bahasa itu (Jawa) jadi saya gunakan teori komunikasi itu,” tambahnya.

Terdahulu, ketika menyampaikan ceramahnya Ahmad Zahid petah bertutur dalam bahasa Jawa.

Pertuturan beliau dalam bahasa itu yang diselitkan dengan unsur-unsur komedi mendapat perhatian daripada hadirin yang rata-rata terhibur dengan lawak jenaka ditonjolkan secara spontan.

Untuk rekod, sebahagian besar penduduk di kawasan DUN Sungai Balang tempat Ahmad Zahid menyampaikan ceramah itu, rata-ratanya terdiri dalam kalangan masyarakat Jawa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast