Calon Barisan Nasional N.37 Johor Lama, Norlizah Noh mengibarkan bendera Barisan Nasional ketika mengadakan program Ronda Tiga Kampung Konvoi Bermotor sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) di Lok Heng Barat, Kota Tinggi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Selepas tsunami politik, Barisan Nasional (BN) menaruh harapan besar diberikan mandat majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Norliza Noh berkata, itu juga menjadi harapannya dan mahu pengundi memberinya peluang.

Walaupun wanita berusia 38 tahun mengakui gementar pada permulaan kempen namun keberaniannya semakin terserlah apabila kehadirannya menerima sambutan positif dalam kalangan pengundi tidak kira di bandar, kampung mahu pun Felda.

Lagi pun, menurut Norliza, pimpinan BN yang turun membantunya dan menurunkan ilmu kepadanya bagi memenangi kerusi DUN Johor Lama.

Pihaknya juga memuat naik edaran risalah digital di media sosial berkenaan kempen, selain aktiviti seperti bersantai bersama anak muda untuk dengar masalah mereka, program baca Yasin untuk merapatkan  jurang perhubungan antara dirinya sendiri dengan penduduk.

“Fokus utamanya semestinya “Orang Muda untuk Orang Muda”, jika diberikan mandat menduduki kerusi DUN Johor Lama ini, saya akan memastikan ekonomi golongan anak-anak muda dan peniaga kecil dibangunkan semula.

“Saya sedar dan kita pun dapat lihat majoriti mereka terjejas akibat penularan Covid-19 di mana mereka diikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya ingin merealisasikan impian mereka agar mereka kembali pulih dan berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, lebih-lebih lagi peniaga kecil di daerah Kota Tinggi ini.” katanya.

Beliau ingin bangunkan semula ekonomi masyarakat setempat selaras dengan Ikhtiar BN yang bertemakan Kestabilan Masa Depan.

Norliza yang juga merupakan Exco Pergerakan Puteri UMNO merupakan salah seorang daripada 10 calon golongan Hawa yang diketengahkan BN dalam PRN kali ini.

Walaupun menjadi satu-satunya calon wanita di DUN tersebut, beliau merasakan situasi itu sebagai suatu kelebihan untuknya menonjolkan kekuatan membela nasib masyarakat.

Norliza berdepan Alias Rasman (Perikatan Nasional), Omar Mokhtar (Parti Keadilan Rakyat), Shukor Ahmad (Pejuang) di DUN Johor Lama. –MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast