JOHOR BAHRU – Pengundi-pengundi di negeri ini diminta memberi kepercayaan kepada Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar (MB) Johor selepas kejayaan beliau membetulkan kembali kedudukan Johor selepas kelembapan dan kemerosotan yang berlaku pada pentadbiran dua menteri besar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Hasni akan mampu menjadi menteri mesar yang baik kerana disokong kuat oleh Barisan Nasional (BN) dan tidak berlaku perbalahan dalaman parti.
”Pendek kata, Johor mesti ditadbir oleh MB terbaik dan BN meletakkan yang terbaik demi kestabilan masa depan Johor,” katanya.
Khaled yang juga bekas MB Johor berkata, sehingga selepas separuh tempoh berkempen, kesemua parti yang bertanding dalam PRN Johor kecuali BN masih gagal menyatakan dengan jelas kepada masyarakat siapakah calon menteri besar mereka.
Tambah Khaled, PKR berkemungkinan besar akan mengulangi kesilapan dalam PRN Melaka iaitu melantik dan mengangkat katak politik sebagai calon MB selepas desas-desus mahu menyandarkan masa depan Johor kepada Maszlee Malik.
Ini kerana, katanya, Maszlee adalah bekas menteri pendidikan yang gagal dan telah dipecat oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri semasa dalam Bersatu di bawah Pakatan Harapan (PH).
Malah, beliau adalah orang terawal yang melanggar janji manis PH untuk membebaskan universiti dari pengaruh politik dengan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden UIAM serta mengangkat ramai kronik politik ke dalam institusi pendidikan.
Hujahnya, Maszlee adalah katak politik yang melompat keluar dari Bersatu, menjadi wakil rakyat bebas, kemudian muncul antara pendukung awal Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan kemudiannya menarik diri pada 2 November 2020 untuk menyertai PKR pula.
Menurutnya, PN pula memilih untuk sekadar mengangkat pemimpin nasional sebagai ‘poster boy’ akibat ketiadaan calon yang layak di peringkat negeri.
PH pula seperti sudah berputus asa dan sedar bahawa mereka akan mencatatkan prestasi buruk kali ini, lantaran itu tidak guna untuk bertelagah dan merebut jawatan menteri besar.
Tambahan pula Parti Amanah Negara (Amanah) sedar bahawa sebarang calon menteri besar yang mahu mereka angkat haruslah dipersetujui dan diredai DAP. Dan ia bukan sesuatu yang mudah dicapai.
MUDA, Warisan, PBM dan serpihan-serpihan politik lain pula sememangnya dari awal sudah jelas bahawa mereka hadir sekadar meramai dan memeriah temasya demokrasi ini. – MalaysiaGazette