JOHOR BAHRU – Kesukaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan berhubung pengeluaran terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukti kerajaan sekarang bukan ditadbir oleh UMNO.
Sebaliknya kerajaan semasa dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) 2.0.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, dalam kerajaan sekarang,
Barisan Nasional (BN) hanya diwakili 41 kerusi manakala PN sebanyak 56.
Jadi keputusan-keputusan yang dibuat oleh parti tidak seperti dulu.
“Waktu dulu parti menguasai kerajaan. Apabila satu-satu dasar diputuskan oleh parti, wajib dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sebab itu dalam Perhimpunan Agung UMNO, misalnya kita ada usul ekonomi, usul agama, usul pendidikan, yang mana setiap usul-usul ini dibahas dan dijadikan resolusi. Resolusi itu akan dijadikan dasar kerajaan untuk dilaksanakan.
“Tetapi hari ini berbeza, walaupu perdana menteri dari UMNO tetapi kerajaan ini bukan kerajaan UMNO tapi PN 2.0 atau kerajaan campuran.
“Oleh sebab itu, bila kita (BN) nak buat sesuatu ada yang ugut nak tekan button, selain mengambil kira pembangkang,” katanya ketika bercakap dalam program Johor Memilih MalaysiaGazette.
Beliau menjawab demikian bagi mengulas pertanyaan ramai mengapa Ismail Sabri tidak boleh membuat keputusan mengenai pengeluaran KWSP walaupun isu itu diperjuangkan secara kukuh oleh UMNO.
Bagaimanapun, katanya, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO dua minggu lalu, isu ini dibangkitkan sekali lagi dan UMNO mahu Ismail Sabri ambil tanggungjawab ini kerana pengeluaran caruman terakhir ini adalah tuntutan rakyat.
“Kalau kita tak mahu dengar masalah, kita memang masalah,” ujarnya.
Berkongsi pengalamannya memperjuangkan isu pengeluaran KWSP ini, Asyraf berkata. UMNO bukan sahaja sudah bercakap dengan perdana menteri berhubung isu pengeluaran terakhir KWSP tetapi sudah bertemu dengan menteri kewangan dua kali dan berbahas dengan pengurusan tertinggi KWSP sendiri.
“Betul, kita kena fikir masa depan rakyat tapi kita juga kena faham juga tentang punca kuasa iaitu Akta KWSP 1991. Seksyen 54 (L) (M) (K) memberikan satu justifikasi yang jelas bahawa sekiranya rakyat berada di dalam keadaan terdesak (kelangsungan dan keberterusan hidup) maka harus dibenarkan pengeluaran tersebut.
“Kurungan (M) dipinda, maknanya akibat daripada pandemik, maknanya apa juga kesan daripada pandemik, itu juga satu justifikasi bagi memastikan rakyat meneruskan kelangsungan dan keberterusan hidup,” jelas beliau dengan panjang lebar.
Sehubungan itu, Asyraf berkata, beliau tidak nampak kesukaran KWSP untuk membenarkan pengeluaran terakhir itu.
Menurutnya, kesan kepada tiga pengeluaran – i-Lesteri, i-Citra dan i-Sinar hanyalah RM110 bilion – itupun disebabkan i-Sinar membenarkan pengeluaran 30 peratus.
Pencarum yang memerlukan wang terakhir KWSP ini juga tidak besar jumlahnya.
“Sebab itu mana ada isu sangat (pengeluaran terakhir). Lagipun sejak bila rakyat kita bergantung sangat pada KWSP pada hari tua? Isunya sekarang rakyat tengah susah sekarang. Rakyat susah akibat PKP 1,2 dan 3.
”Ini juga kelemahan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dulu. Sebab itu dulu kita suruh buat total lockdown betul-betul tetapi Malaysia adalah negara yang paling lama laksana total lockdown tetapi separuh masak. Yang jadi masalah adalah rakyat yang dibuang kerja, cuti tanpa gaji, hilang pendapatan dari 1 Januari 2021,” tegas beliau.
Ini adalah realiti rakyat dan walaupun negara sudah membuka ekonomi tetapi ia memerlukan proses pemulihan.
“Proses pemulihan ini bermakna rakyat memulakan hidup baharu dengan hutang tertunggak, ramai yang kena keluar rumah sewa.
“Isu ini real bukan sentimen politik tau, sebab itu semua bercakap pasal KWSP. Lagipun mereka yang nak keluar (KWSP) tahu mereka ada duit lagi. Dan mereka mahu duit ini untuk bayar hutang, kereta yang ditarik, ah long dan komitmen,” hujah Asyraf.
Katanya, sset KWSP setakat Julai 2021 mencecah RM986 bilion dan perolehan besar hampir RM76 bilion, bermakna aset KWSP sudah melangkaui RM1 trilion.
“Apa sangat kesan i-Citra dalam RM25 bilion. RM25 bilion dengan RM1 trilion baru 2.0% sahaja. Kalau kita nak stablize pasaran, dengan mengambil aset KWSP dalam pasaran modal, pasaran kewangan overnight money market yang berjumlah RM28 bilion.
“Angka ini sudah boleh guna untuk menstabilkan kedudukan instrumen aset KWSP,” tambahnya.
Mengulas mengenai reaksi u-turn Pas, PN dan DAP berhubung pengeluaran KWSP ini, Asyraf menyifatkan situasi ini satu sepakatan politik walaupun UMNO kekal komited dengan perjuangan ini.
“Kami konsisten sejak dulu lagi. Kita berhujah dengan menteri kewangan yang dari dulu memang sukar. Dia (menteri kewangan) memikirkan kewangan dari perspektif seorang banker. Kita ini pula orang bergelumang dengan rakyat di bawah.
“Kita tahu bagaimana susahnya rakyat. This is where politician yang bergelumang dengan rakyat berbanding menteri yang tidak pernah menyantuni rakyat,” uar beliau. – MalaysiaGazette