Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada media selepas selesaimenghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA) di Dewan Rakyat Sungai Mas, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MAC 2022.
Hamzah Zainudin

TANGKAK – Perikatan Nasional (PN) perlu lebih realistik mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan, kata Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ujarnya, gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan itu bukan parti kayangan sebaliknya lebih merendah diri dengan turun ke lapangan bertemu pengundi-pengundi Johor.

“Itu Datuk Seri Ismail Sabri yang cakap (BN boleh menang), saya adalah seorang yang telah turun ke bawah bersama orang kampung, saya tak bercakap di awang-awangan.

“Saya bercakap dari (golongan) bawah-bawahan. PN adalah satu kumpulan yang berhadapan dan bertemu dengan orang bawah dan bukan hanya di atas awang-awangan sahaja,” katanya kepada media selepas bertemu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bersama calon PN, Mohd Solihan Badri.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melahirkan keyakinan bahawa BN mampu memenangi PRN Johor pada 12 Mac ini bagi membentuk kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO itu menyifatkan peluang BN untuk menang di Johor adalah baik, namun gabungan parti itu perlu menang lebih daripada sekadar majoriti mudah.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata rata-rata pengundi yang ditemui beliau mengakui mahu membawa perubahan kepada kerajaan negeri Johor.

Malah katanya, PN merupakan satu parti yang mempertahankan aspek integriti dan maruah dalam pentadbirannya dan menyasarkan supaya Malaysia kembali dihormati di dunia.

“Saya gembira kerana ketika bertemu ramai penyokong…bila saya sebut penyokong ini bukannya jentera tetapi orang kampung sendiri yang kata kami nak ubah.

“Saya sendiri perasan gelombang PN ditunjukkan mereka…orang sudah sedar….sudah-sudahlah apa yang berlaku kini menyeksakan golongan rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pelaksanaan membuat sempadan negara, Hamzah berkata pihaknya sudah bersedia untuk berbuat demikian sejak 1 Mac lagi.

“Kita bersedia awal lagi, 1 Mac pun boleh buka dalam mesyuarat MPN kita umumkan bahawa KDN sudah bersedia, cuma kementerian lain mungkin belum bersedia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast