Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Amira Aisya (tiga kanan) bersama calon lain yang bertanding bergambar sambil menunjukkan risalah Tekad MUDA pada Pelancaran Tekad MUDA sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Khidmat MUDA Puteri Wangsa, Taman Eco Cascadia, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Tekad MUDA iaitu manifesto yang ditampilkan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan bertentangan dengan Tawaran Pakatan Harapan (PH).

Menurut Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abdul Aziz, semangat yang ditampilkan dalam manifesto MUDA dan PH adalah sama.

“Apa yang penting kami mahu manifesto ini boleh memberikan harapan yang terbaik buat rakyat dan pada masa yang sama wujudnya intergriti kepimpinan.

“Antaranya pemberian peruntukan yang sama kepada semua ADUN, memastikan Enakman Anti Lompat Parti di Johor. Ini ada dalam manifesto PH dan MUDA.

“Pada akhirnya bila kita membentuk kerajaan, kami akan pastikan janji yang dibuat akan memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Amira Aisya.

Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Amira Aisya bercakap pada Pelancaran Tekad MUDA sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Khidmat MUDA Puteri Wangsa, Taman Eco Cascadia, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2022.

Jelas Amira Aisya, jika calon MUDA menang mereka akan membentuk kerajaan bersama-sama dengan PH dan segala pelaksanaan manifesto akan dilakukan secara perbincangan antara kedua-dua rakan strategik itu.

Menurutnya, perbicangan PH dan MUDA akan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak dan keputusan yang dicapai akan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Bila MUDA menyertai pilihan raya ini, hadir bersama adalah semangat untuk bekerjasama dengan rakan strategik Pakatan Harapan.

“Bila bercakap dengan kerjasama strategik dengan PH jelas sekali kita ingin membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan.

“Manifesto yang kami lancarkan ini dan manifesto yang dilancarkan oleh PH sebelum ini tidak ada yang bertentangan,” kata calon MUDA DUN Puteri Wangsa itu.

Tekad Muda dilancarkan hari ini di Pusat Khidmat MUDA Puteri Wangsa. Majlis tersebut dihadiri enam daripada tujuh calon MUDA yang bertanding.

Sementara Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai secara maya kerana sedang berada di ibu negara bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Manifesto itu  berlandaskan lima teras dibuat dengan rapi, bersandarkan kepada suara rakyat Johor bagi mengangkat kepentingan masa hadapan negeri Johor.

Lima tekad tersebut adalah Kepimpinan Bertenaga dan Pantas, Mengamalkan Demokrasi Pro Rakyat, Membela Golongan Pertengahan  (M40), Merapatkan Jurang Kelas Masyarakat dan Kemajuan Ekonomi Untuk Semua.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast