Dr. Mahathir Mohamad Pedra Branca Johor Riau Singapore
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pagi ini turut mengheret bekas rakan sejawatnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam ucapan perbahasan itu, beliau menyatakan tidak setuju dengan tindakan kerajaan memberi hadiah bernilai RM70 juta kepada mantan Perdana Menteri kelima itu selepas bersara.

Katanya, tindakan memberi hadiah yang besar dan bernilai tinggi kepada mantan-mantan Perdana Menteri tidak baik kerana negara perlu mematuhi kepada undang-undang.

Ini berbanding dirinya, walaupun lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri (1981 hingga 2003) dan apabila bersara, beliau tidak pernah menerima atau mengambil walau satu sen pun hadiah daripada kerajaan.

Sebaliknya, kata mantan Perdana Menteri keempat itu, beliau menawarkan untuk membeli sebidang tanah yang dihadiahkan oleh kerajaan kepadanya selepas bersara.

“Saya mengaku, saya juga bekas Perdana Menteri, tetapi saya tak ambil satu sen pun hadiah yang diberikan kepada saya. Mungkin kerana jasa saya itu tak ada, tak cukup nak dapat hadiah.

“Tetapi, saya mengaku ada tawaran nak beri kepada saya sekeping tanah… saya tolak dan saya sebaliknya menawar untuk membeli tanah itu, bukan dapat percuma,” katanya.

Dr. Mahathir selaku ketua parti yang diberi masa 20 minit untuk berbahas menarik perhatian dewan dengan mempertikaikan peraturan undang-undang yang diamalkan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, negara ditubuh dengan diadakan perlembagaan, iaitu negara ditubuh dengan undang-undang termasuk undang-undang yang menentukan arah mana kerajaan dan kuasa yang ada pada kerajaan dalam pentadbiran untuk negara ini.

“Perlembagaan menentukan undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan tidak boleh diluluskan, (tetapi) apa yang berlaku sekarang tindakan kerajaan tidak sama sekali menghormati perlembagaan, bahkan tidak menghormati undang-undang yang diluluskan oleh dewan ini semasa perbahasan dan sebagainya.

“Apa yang kita lihat ialah kerajaan bersikap seolah-olah kerajaan mempunyai kuasa lebih daripada perlembagaan. Boleh buat apa saja dan tidak perlu pun merujuk kepada dewan. Dalam satu kes ialah berkenaan dengan hadiah kepada bekas Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perbezaan yang berlaku di zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn, yang mana mereka hanya diberikan rumah lama sebagai hadiah atas jasa sebagai Perdana Menteri.

“Tetapi, apabila sampai kepada (Tun) Abdullah, kita dapati hadiah yang diberikan ini bernilai RM70 juta. Ini satu angka yang besar yang beratus kali ganda lebih daripada gaji yang didapati yang dibayar kepada Perdana Menteri semasa bertugas.

“RM70 juta diberi dan ini dilakukan tanpa rujukan kepada Dewan Rakyat atau di mana-mana undang-undang yang boleh menentukan berapa banyak nilai hadiah ini.

“Dan, kita juga dengar bahawa semasa Perdana Menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) bersara, dia menulis surat kepada kerajaan meminta supaya dihargai jasanya dengan memberi kepadanya sebanyak RM100 juta,” katanya.

Mengenai hadiah kerajaan, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Najib telah memohon RM100 juta iaitu sebuah bangunan bernilai RM60 juta dan wang sebanyak RM40 juta.

Dr. Mahathir berkata, jumlah itu bukan sagu hati yang biasa diberi oleh swasta bahkan oleh kerajaan juga.

“Tidak ada peruntukan dalam undang-undang yang berkata, amaun yang sebegini besar boleh diberikan kepada bekas Perdana Menteri. Ini adalah sesuatu tindakan yang di luar undang-undang. Bahkan, tidak ada dalam undang-undang.

“Tetapi atas timbang rasa dan kuasa yang sedikit yang ada kepada kerajaan, ada yang bersetuju bahawa satu hadiah perlu diberikan kepada bekas Perdana Menteri yang bersara sebagai satu tanda bahawa kita menghargai apa yang dilakukan ataupun sumbangan Perdana Menteri kepada negara.

“Dalam pada itu, kita juga tentukan bukanlah hadiah ini terlalu besar, sebaliknya kalau kita lihat di pihak swasta, mereka juga memberi hadiah biasanya kepada pegawai berjasa yang memajukan syarikat, mungkin terhad kepada satu jam Rolex. Itu sahaja yang diberi sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir mempersoalkan, dalam kerajaan sekarang apa yang dicadangkan, bahkan diberi kepada bekas Perdana Menteri jauh lebih besar daripada jam Rolex, walaupun itu bukan amalan kerajaan dahulu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Oh yaaa…cuba tanya plak berapa billion ko bagi projek2 kerajaan kepada anak2 kau tu?

Comments are closed.