solat jemaah
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan memasuki fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April ini yang merupakan exit strategy untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.

Fasa ini merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Biar pun telah memasuki fasa peralihan ke endemik namun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

Perdana Menteri berkata, mulai 1 April juga had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

Selain itu, kata Ismail Sabri, pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

“Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/pengunjung,” katanya.

Mengenai aktiviti solat jemaah, Perdana Menteri berkata, aktiviti tersebut di masjid atau surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan dan SOP akhir tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk rumah badat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette