Adzrull mengundi awal bersama-sama pasangan yang juga anggota polis, Inspektor Nurul Zuriana Barik di Kluang hari ini.

KLUANG – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula seawal jam 8 pagi tadi di seluruh negeri dalam keadaan teratur dan lancar walaupun dengan norma baharu.

MalaysiaGazette yang meninjau ke Ibu Pejabat Polis Kluang dimaklumkan sekurang-kurangnya 400 pengundi dalam kalangan anggota polis akan menjalankan kewajipan mereka mengundi awal di sini sehingga pukul 5.30 petang ini.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang hadir  meninjau situasi melahirkan rasa syukur dengan perjalanan undi awal di sini berjalan lancar.

“Saya harapkan semuanya berjalan dengan teratur dan juga mengikut SOP (prosedur operasi standard). Saya tengok keadaan sangat baik hari ini, harap ianya teratur dan lancar sehingga petang ini. Semoga pengundi yang juga penjawat awam dapat tunaikan tanggungjawab dengan baik.

“Juga diharapkan supaya pengundi memberikan kepercayaan kepada kerajaan BN bagi sebuah negara dan negeri yang lebih stabil selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang daripada pengundi awal, Kopral Adzrull Hisham Nakmat@Ahmad berharap mana-mana pihak yang menang diharap mengotakan janji seperti mana yang diikrarkan ketika kempen.

“Ini adalah pengalaman mengundi kali kedua, kali pertama pada PRU-14. Kita harap kerajaan akan melaksanakan apa jua yang telah dijanjikan kepada rakyat. Harap menjadi sebuah kerajaan yang stabil buat kita,” ujarnya.

Adzrull mengundi bersama-sama pasangan yang juga anggota polis, Insp Nurul Zuriana Barik.

Untuk makluman, undi awal dilaksanakan dengan mengikut SOP pencegahan Covid-19 antara yang wajib termasuklah pemakaian pelitup muka sepanjang masa serta , penjarakan satu meter.

Rata-rata pengundi juga maklum dan mengikut semua SOP dengan baik sekali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh mengundi bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan daripada keseluruhan rakyat yang layak mengundi, 2,574,835 orang merupakan pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan.

Manakala 11,576 orang anggota polis dan pasangan, serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast