BATU PAHAT – Polis masih menyiasat laporan mengenai aktiviti tari menari di sebuah program kerajaan di Ayer Hitam dan satu lagi di majlis ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di mana program itu dihadiri lebih 100 orang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kedua-dua laporan mengenai kes itu diterima pihaknya berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti penganjur program di majlis kerajaan itu kerana kawalan keselamatan turut diberikan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan kertas siasatan turut dibuka mengikut Peraturan-Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambahnya, beberapa orang yang terlibat dengan penganjuran program berkenaan telah dipanggil untuk diambil keterangan.
Terdahulu, sebelum ini tular sebuah rakaman menunjukkan aksi orang ramai berjoget tanpa penjarakan sosial.
Video itu membabitkan program anjuran sebuah kementerian di Ayer Hitam yang menunjukkan pengunjung mengabaikan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Ismail berkata, seramai 631 pengundi yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis di dalam daerah ini hari ini dijangka menunaikan tanggungjawab mengundi awal.
Kesemua mereka adalah dari sembilan buah balai polis di dalam daerah ini.
Katanya, terdapat dua lagi pusat pembuangan undi awal digunakan iaitu di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Kem Majidee yang digunakan untuk undi awal anggota tentera.
“Bagaimanapun, kita dapati seramai 16 orang anggota (polis) tidak dapat mengundi kerana positif Covid-19 dan dikuarantin akibat perkara berkaitan Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Ismail, sebanyak 61 anggota yang telah bertukar tugas di kontinjen dan balai lain akan datang untuk menunaikan tanggungjawabnya di sini.
Justeru katanya, beliau yakin sasaran 90 peratus undi daripada polis akan dapat diperoleh sebelum pukul 5 petang ini. – MalaysiaGazette