Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon Barisan Nasional (BN) N.09 Gambir, Sahrihan Jani (kiri) ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

TANGKAK – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan terpaksa membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM50 bilion adalah satu perkara mengarut.

Datuk Seri Najib Razak berkata, wang yang digunakan kerajaan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB bukan duit rakyat.

“Goldman Sachs bukan duit rakyat, dia mana boleh kata itu duit rakyat, itu duit Goldman Sachs.

“Masuk akaun Goldman Sachs, dia bayar duit Golman Sachs, mana duit rakyat? Mengarut sahaja,” katanya kepada media selepas walkabout di Pekan Gambir bersama-sama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani di sini hari ini.

Bekas perdana menteri Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin di Dewan Rakyat yang menafikan dakwaan beliau bahawa tiada dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Muhyiddin semalam ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat berkata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz maklumkan kerajaan setakat ini sudah membayar RM13.3 bilion hutang 1MDB.

Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan terpaksa membayar hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion selepas syarikat berkenaan gagal membayar hutang berkenaan kerana ia dijamin oleh kerajaan.

Najib dalam perbahasannya di Dewan Rakyat 2 Mac lalu mendakwa hutang itu tidak dibayar menggunakan dana awam tetapi daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette