Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh bercakap pada media selepas selesai menghadiri Program Sembang Santai bersama penduduk sekitar Felda di Dewan Besar Felda Air Tawar, Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh membidas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah generasi kedua Felda yang hampir berlarutan hampir 10 tahun.

Anwar pada 3 Mac mengatakan setiap kali pilihan raya, UMNO, BN, dan Perikatan Nasional (PN) menguar-uarkan ‘janji’ untuk menyelesaikan masalah itu yang akhirnya dibiarkan tertangguh.

“Dia apa saja yang dia tak kata? Apa dia buat masa Pakatan Harapan (PH) memerintah dulu? Apa dia buat buat untuk Felda masa PH memerintah dulu?

“Itu saja soal dia, apa yang Anwar Ibrahim buat? Itu saya nak tanya dia balik,” soal Idris yang mengatakan PH seolah-olah tidak membela nasib masyarakat Felda semasa parti tersebut mentadbir Johor.

Idris yang juga Pengerusi Felda berkata, hanya dua isu Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) terbengkalai di Johor belum diselesaikan membabitkan Felda Aping Timur, dan Felda Pasak.

“Ini isu lama dan sedang diusahakan. Kita akan pastikan isu itu diselesaikan menggunakan kaedah berlainan berbanding lama.

“Dulu kita sudah selesaikan isu rumah terbengkalai yang siap lebih 70 peratus yang kini sudah diduduki dan sekarang kita memasuki fasa kedua membabitkan rumah yang siap di bawah 70 peratus.

“Kita akan pastikan rumah generasi kedua felda ini diselesaikan hujung tahun 2022, kontraktor pun sudah beri kata jaminan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, semalam.

Mengenai harga rumah peneroka generasi kedua yang didakwa akan dinaikkan, Idris berkata, setip rumah kekal pada harga RM90,000.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan kebimbangan peneroka mengenai projek perumahan yang mula dibina pada 2013 itu bukan sahaja terbengkalai bahkan harganya dikatakan melambung sehingga RM198,000 seunit. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast