Mohammad Fakrulradzi Mahmud

MERSING – Calon Pakatan Harapan yang bersaing merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Endau, Mohammad Fakrulradzi Mahmud menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan untuk mendengar sendiri keluhan rakyat.

“Tersentuh hati saya apabila ramai yang meluahkan rasa hati seolah-olah mereka tiada pembelaan dan paling tak sedap didengar apabila mereka meletakkan semua calon hanya mahu undi sahaja dengan menabur janji manis.

“Kesannya, ada yang mengambil keputusan tak mahu keluar mengundi disebabkan kecewa dengan janji manis pemimpin,” katanya ketika ditemui di sini.

Jelas Fakrulradzi, untuk menyakinkan semula pengundi yang kecewa dan rasa tertipu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sebagai calon, saya  hanya mampu mendengar dan takut untuk berjanji bulan bintang namun saya yang juga rakyat biasa faham dan pernah melalui perasaan yang sama.

‘Justeru, saya akan cuba melakukan terbaik seandainya dipilih dan yang pasti, saya akan selalu bersama rakyat untuk mencari titik penyelesaian kepada apa juga masalah.

“Pengalaman saya mendekati rakyat sepanjang tempoh berkempen telah mengajar saya banyak perkara terutama keikhlasan hati dalam membantu rakyat,” kata calon berusia 32 tahun ini.

Tambahnya lagi, setiap calon mahukan kemenangan dan setiap calon ada kelebihan masing-masing ketika berkempen.

“Setakat ni, saya sudah bertemu hampir 80 peratus pengundi dan baki dua hari lagi akan dihabiskan untuk bertemu seramai yang boleh.

“Saya mengharapkan yang terbaik dan jika ada rezeki saya terpilih sebagai wakil rakyat, saya akui tidak sempurna tetapi insya Allah saya akan berkhidmat seikhlas hati saya,” ujarnya.

Pada PRN Johor yang akan mengundi pada Sabtu ini, Fakrulradzi akan bersaing dengan empat calon lain dari Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pejuang dan seorang calon bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast