Muhammad Jailani Khamis

MELAKA – Melaka dijangka membawa pulang beberapa sumber sejarah antaranya seperti artifak, fosil, dokumen, peta, mata wang dan manuskrip era penjajahan Belanda yang berusia hampir 200 tahun bernilai jutaan ringgit pada November ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri Kedutaan Belanda di Malaysia kepadanya yang bersedia memulangkan bukti yang diambil negara itu di Melaka ketika penjajahan selama 183 tahun bermula pada tahun 1641 hingga 1824.

Menurutnya, perkara itu susulan dasar terkini Belanda yang bersedia memulangkan semula tuntutan daripada mana-mana negara yang pernah dijajah sehingga ada yang berusia lebih 500 tahun.

“Itu adalah dasar terkini yang ditanyakan sendiri Kedutaan Belanda ketika melawat ke muzium di Melaka sebelum ini untuk memulangkan semula tuntutan yang mereka ambil dari Melaka ketika itu.

“Insya-Allah kita akan ke London untuk World Travel Market London (WTM) pada 7 hingga 9 November ini dan dari sana saya akan ke Belanda untuk berusaha membawa pulang bukti sejarah ini yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ayer Keroh di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Shaari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, ketika ini, pihaknya sedang membuat kajian mengenai apakah jenis tuntutan yang akan dikemukakan yang belum dapat dipastikan mengenai jumlahnya.

“Bukti-bukti sejarah perlukan masa untuk dipastikan kerana ketika itu tak ada inventori atau rekod yang teratur mengenainya walaupun kita anggarkan ia mungkin bernilai jutaan ringgit.

“Antaranya adalah manuskrip perjanjian antara Belanda dan kerajaaan yang bertapak di Johor masa tu, termasuk manuskrip dengan Acheh itu semua kita masih lakukan kajian,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast