Calon Barisan Nasional (BN), Chan San San dan calon Pakatan Harapan (PH) mewakili DAP,  Liow Cai Tung bagi kerusi DUN Johor Lama.

JOHOR BAHRU – Debat antara calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya boleh diadakan secara dalam talian jika tidak mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdebatan itu antara calon Barisan Nasional (BN), Chan San San dengan calon Pakatan Harapan (PH) mewakili DAP,  Liow Cai Tung.

Menurut San San, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Cai Tung untuk menjemputnya berdebat menggunakan medium Bahasa Kebangsaan.

Ia susulan dakwaan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang menuduh calon-calon MCA tidak boleh bertutur dengan fasih dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu tanpa menggunakan skrip.

“Surat tersebut menjemput Liow Cai Tung untuk menghadiri perbahasan ini yang akan diadakan di Pejabat MCA Pasir Gudang esok, 10 Mac 2022 pada pukul 8 malam,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, pegawai perhubungan kepada calon MCA itu berkata, pihak Cai Tung tidak memberi apa-apa maklum balas setakat 3 petang tadi.

MalaysiaGazette menghubungi Cai Tung untuk mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, beliau ambil maklum mengenai jemputan perbahasan tersebut namun tidak mahu menerimanya kerana tidak dimaklumkan mengenai topik perbahasan selain ingin lebih menumpukan kepada gerak kerja kempen.

“Pada pandangan saya, MCA sebagai parti tidak lagi layak untuk menjemput mana-mana calon DAP untuk berbahas.

“Sebab sebelum ini, Wee Ka Siong (Presiden MCA) sendiri mendiamkan diri selepas gagal meneruskan perdebatan dengan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) ekoran tiada permit daripada PDRM,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, program debat antara  Ka Siong dan Guan Eng tidak dapat diadakan pada 6 Mac selepas penganjur tidak mendapat permit polis.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Mamat tidak membenarkan sebarang penganjuran program perdebatan secara bersemuka oleh mana-mana pihak sepanjang kempen PRN Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast