Tengku Zafrul Abdul Aziz personal emergency Parliament no-show
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak (LPG) berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan terpaksa menampung sehingga 10 kali ganda, iaitu meningkat daripada RM200 juta untuk Januari 2021 kepada lebih RM2 bilion pada Januari lalu.

Beliau berkata, sejak permulaan tahun 2021, harga minyak mentah dunia menurut Brent Crude Oil telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan.

Katanya, harga minyak mentah bagi bulan tahun ini adalah pada kadar AS$85 setong iaitu meningkat berbanding Januari 2021 sebanyak AS$55 setong.

“Berikutan kenaikan ini, kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan LPG sehingga 10 kali ganda.

“Ditambah pula dengan isu pergolakan antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah naik mendadak ke paras melebihi AS$100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014.

“Dengan kenaikan ini, dijangka jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG akan melebihi RM2.5 bilion sebulan,” katanya menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) yang menanyakan sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan.

Ini katanya, memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak pada ketika peperangan Rusia-Ukraine yang sedang meruncing.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion bagi tahun 2021.

“Pengguna pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95, tetapi kos sebenar dalam Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol.

“Ini bermakna kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 setiap liter.

“Sebagai contoh, setiap kali ke stesen pam minyak dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM81 kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95,” katanya.

Ini bermaksud, katanya, subsidi kerajaan adalah sehingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.

Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak sementara kos sebenar telah juga melebihi RM4 seliter.

Katanya, jurang besar antara harga runcit di stesen minyak berbanding harga pasaran sebenar akan mengakibatkan risiko ketirisan subsidi yang lebih tinggi disebabkan aktiviti penyeludupan keluar produk petroleum.

“Kerajaan juga tidak boleh meminjam untuk membiayai Belanja Mengurus (OE) seperti kos subsidi. Dengan itu, kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan juga penjimatan perbelanjaan.

“Program subsidi semasa melibatkan harga bersubsidi yang sama dinikmati semua, tanpa mengira kaya atau miskin.

“Tambahan pula, golongan berpendapatan tinggi akan menikmati lebih subsidi berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya.

Menurut Tengku Zafrul lagi, kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan serta mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Kata beliau, pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast