Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan tegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang terutama golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penegasan itu selaras dengan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Cambridge Union, United Kingdom pada Jun 2019.

“Dalam ucapan itu, Dr. Mahathir menegaskan Malaysia tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang di kalangan rakyat negara ini, terutama membabitkan unsur LGBT.

“Kita memandang serius dengan isu ini yang semakin membimbangkan mutakhir ini,” katanya di Parlimen, hari ini.

Idris menegaskan, Malaysia seharusnya berpegang teguh kepada nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Justeru, beliau berharap isu sosial melibatkan golongan LGBT itu dapat diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.

“Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan, yang menerapkan kepada nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan, maka, LGBT adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia.

“Bukan itu sahaja, perbuatan homoseksual adalah bertentangan dengan undang-undang negara iaitu undang-undang jenayah syariah dan undang-undang sivil.

“Di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025.

Katanya, pelan itu bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat terutama permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat Islam di Malaysia yang semakin meruncing dengan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV / AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, pengamalan gaya hidup songsang dan sebagainya.

Ujar beliau, pelaksanaan PTSI juga mendukung kepada Dasar Sosial Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). – MalaysiaGazette