TANGKAK – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki hari ke-13 hari ini menyaksikan jadual yang padat menanti setiap calon dalam tempoh pecutan terakhir mereka.
Ia tidak terkecuali bagi calon Barisan Nasional (BN) N11 Serom, Khairin-Nisa Ismail yang menyatakan komitmen untuk bertemu secara empat mata serta menyantuni seluruh rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan.
Bagi Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang itu, walkabout menjadi medium berkempen paling berkesan untuk dirinya bertemu dengan lebih ramai pengundi.
“Kalau ikutkan saya memang sudah bertemu dengan kesemua pengundi Melayu, India dan juga Tionghua, namun pada saat-saat akhir seperti ini saya akan memperbanyakkan walkabout untuk terus menyantuni kesemua lapisan masyarakat.
“Saya mahu bertemu dengan seberapa ramai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sehingga lah tamat tempoh berkempen pada tengah malam esok (Jumaat),” katanya kepada MalaysiaGazette selepas program bertemu anak muda di Tawar Farm & Plantation, Kampung Parit Bunga di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Khairin-Nisa yang juga merupakan seorang peguam berkata, beliau menerima maklum balas yang sangat positif dari pengundi automatik yang berusia 18 tahun.
Kata Khairin-Nisa, berdasarkan siri kempen yang dijalankan, rata-rata anak muda di DUN Serom sedar mengenai kepentingan untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Mengundi adalah satu perkara baharu dalam hidup mereka jadi kalau boleh semuanya mahu merebuat peluang kerana mereka sedar ini bukan lah perkara main-main, pilihan raya ini menuju masa depan,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi DUN Serom dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Faizul Amri Adnan dengan majoriti 2,324 undi menewaskan calon BN, Abdull Rahim Talib dan calon Pas, Mustaffa Salleh. – MalaysiaGazette