Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 April untuk pendengaran permohonan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan rakaman percakapan 18 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam perbicaraan kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita, selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Hamidi berkata, permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi-saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan itu, difailkan pada 18 Februari lepas.

“Mahkamah juga mengarahkan pihak pemohon (Ahmad Zahid) memfailkan hujahan sebelum atau pada 30 Mac ini,” katanya.

Pada 24 Jan lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 September , 17-20 dan 31 Oktober serta 1-3 dan 7-10 November.

Pihak pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast