Calon Barisan Nasional N.33, Tenggaroh, Raven Kumar bergambar bersama buku Ikhtiar Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Felda Tenggaroh 2, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 MAC 2022.

MERSING – Tempoh kempen berbaki kurang 72 jam, calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N33 Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy yakin mampu mempertahankan kemenangan yang diraih pada 2018.

Katanya, sesi berkempen bersama jentera BN telah mendapat respon yang memberangsangkan dari penduduk dan pengundi DUN Tenggaroh.

“Dari dulu lagi memang dah kerap dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti main bolasepak dan badminton dengan belia, selain mendengar sendiri aduan mereka supaya dapat merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Bab sambutan memang tak payah sebut, memang menggalakkan kerana penduduk-penduduk Tenggaroh ini dah memang seperti keluarga saya sendiri, dan mereka pun menganggap benda yang sama terhadap saya” katanya apabila ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Ditanya mengenai perancangannya jika menang dalam PRN 12 Mac ini, Raven berkata,beliau ingin memajukan lagi sektor pertanian dan pelancongan yang sentiasa menjadi kunci utama pendapatan penduduk di Mersing.

Katanya, beliau akan mengetengahkan pelan berkaitan food security membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan melahirkan agropreneur untuk golongan belia mencari pendapatan.

“Kalau kita tengok dalam Ikhtiar BN, ada sebut pasal projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) yang akan diwujudkan di Jemaluang.

”Ini bagi memberi peluang kepada satellite farmer atau penternak-penternak kecil membekalkan susu kepada ladang tenusu sebagai langkah penambahan hasil keuntungan penduduk setempat” katanya bercerita tentang projek JDV yang bakal dibangunkan pada tahun depan.

Selain itu, Raven berkata, beliau akan menggunakan ‘tiket’ pulau-pulau yang cantik di Mersing (yang sering dibandingkan dengan Kepulauan Maldives) sebagai salah satu penambahbaikan jika berjaya menduduki kerusi N33 itu sekali lagi.

Mengulas lanjut, katanya, sejak tahun lepas lagi beliau sudah menyediakan kursus-kursus latihan untuk golongan belia menimba ilmu supaya dapat dipergunakan semula dalam sektor pelancongan.

“Dahulu kita dah pun memasuki arena pasaran digital, dan kini kita akan tawarkan servis island hopping dengan kerjasama Mersing Tourism Association (MTA)”

“Pada masa akan datang, jika dibenarkan sekali lagi untuk mentadbir di Tenggaroh, kita akan meningkatkan lagi mutu kursus latihan yang tersedia untuk penuntutnya mempelajari lebih banyak teknik face painting dan manicure pedicure,” katnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast