Gambar hiasan. foto AFIQ HAMBALI, 6 NOVEMBER 2020

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

TIDAK disangkal lagi teknologi mengubah wajah dan persekitaran kehidupan manusia.

Sebuah telefon pintar yang digenggam erat setiap insan di muka bumi kini memudahkannya untuk mengakses sumber maklumat, berita dan pengetahuan dengan pantas dan lancar sekali.

Tanpa membaca akhbar bercetak, mendengar radio atau menonton televisyen, maklumat kini benar-benar dihujung jari.

Bukan itu sahaja, ia jauh lebih menarik, memukau, melekakan dan mengasyikkan.

Sumber dan pelantar maklumat itu pula beragam, penuh variasi, berkembang pantas seolah-olah ibarat pelari pecut.

Sedetik sahaja terlewat, kita sudah ketinggalan beribu-ribu kilometer.

Begitulah halnya jurusan ilmu komunikasi yang diajar di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta di negara kita.

Penulis hanya memberikan sudut pandangan dan perspektif perihal jurusan ilmu komunikasi di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sahaja.

Umumnya struktur kerangka pengajian komunikasi dan media di negara kita berilhamkan tradisi ilmu komunikasi dari dunia barat, khususnya Amerika Syarikat dan Eropah.

Segala falsafah, teori, model, epistemologi dan matlamatnya pun mengikut acuan yang dicipta sarjana komunikasi dari barat.

Usaha pemeribumian bidang komunikasi dan media ini pun berjalan agak perlahan lebih-lebih lagi sekarang bila teknologi digital dan media baharu yang juga dieksport oleh barat kuat mempengaruhi penyebaran berita, maklumat dan hiburan terkini yang sentiasa sahaja sensasi.

Secara tradisionalnya, bidang komunikasi dan media mengajar disiplin kewartawanan, penyiaran, perhubungan awam, dan periklanan.

Teras disiplin ini masih kekal, tetapi sudah semakin larut dan perlu diperiksa semula untuk menjadikannya relevan, dinamik, inovatif dan memikat generasi baharu yang amat celik teknologi.

Sementara sejarah, falsafah, teori, model dan epistemologi ilmu dalam disiplin-disiplin berkaitan boleh sahaja digunapakai tetapi lebih banyak unsur-unsur baharu yang mesti diambilkira terutama kehendak pasaran yang sudah jauh berubah.

Malah, ada sesetengah teori dan model yang diajar mungkin sudah tidak serasi dan perlu teori baharu yang menepati keperluan teknologi digital dan media baharu.

Begitu juga nama-nama program yang ditawarkan pun sudah boleh diubahsuai seperti kewartawanan mungkin dikenali sebagai kewartawanan siber, penyiaran sebagai penyiaran digital dan mungkin juga semua kandungan kursus disemak semula secara menyeluruh, memasukkan unsur-unsur media baharu, digital dan siber.

Ada subjek yang mungkin perlu digugurkan dan diperkenalkan subjek baharu yang menggabungkan antara teori dan falsafah ilmu komunikasi dan kemahiran.

Pelajar-pelajar wajar sekali didedahkan kepada penciptaan kandungan yang lebih segar, menarik, menghiburkan, ringkas, padat tetapi tidak pula mengabaikan aspek nilai atau etika.

Celik media atau media literacy kini sudah menjadi suatu keperluan asas. Guru yang mengajar ilmu-ilmu komunikasi perlu melatih pelajar-pelajar berfikir secara kritis, kreatif dan bijak menyaring antara berita berasaskan fakta dengan khabar angin dan berita palsu.

Jika ini tidak diberikan perhatian, lambat laun dan memang sudah pun meluas berita palsu berhamburan di media sosial.

Tiada tapisan, tiada saringan malahan untuk membezakan antara fakta dan auta pun amat sulit, sering sahaja menimbulkan kekeliruan dan kesangsian.

Soal kewibawaan media dan pengamal media akan terus diperhatikan dan diteliti secara kritis oleh khalayak umum.

Kebolehpercayaan terhadap media dan sanjungan terhadap tahap profesionalisme wartawan, editor dan pengamal media di zaman media baharu dan digital hanya berlaku jika proses tapisan maklumat untuk menyemak fakta sentiasa teliti, diperhalusi dan cermat oleh sang editor yang berilmu, berintegriti dan beretika.

Oleh hal yang demikian, sekolah pengajian komunikasi wajar terus menerus memperkasakan aspek etika, wibawa ilmu dan profesionalisme dalam penyampaian ilmu. Mengambilkira realiti media baharu dan teknologi digital yang berubah pantas, jaringan industri juga sudah melampaui kerjasama dengan organisasi media yang dahulunya menguasai rentak media arus perdana.

Perbincangan penulis dengan beberapa pengamal  yang terbabit dalam organisasi media berorientasikan digital, tumpuan mereka kini mahu melihat graduan komunikasi yang bersifat enterprising, mampu menghasilkan kandungan yang lebih serasi dengan aspirasi media baharu, kreatif, menguasai sekurang-kurangnya dwi-bahasa dengan bahasa Inggeris sebagai satu keperluan asasi serta sudah pasti sanggup  berdepan pertarungan sengit pasaran yang tidak menentu, getir dan sengit lebih-lebih lagi selepas kita melalui zaman pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Di Manipal International University (MIU), kampus Nilai, Jabatan Komunikasi menyediakan pelajar-pelajar yang berminat mengikuti jurusan komunikasi sama ada di peringkat diploma atau ijazah pertama bukan sahaja dengan pengetahuan teori, falsafah dan epistemologi ilmu komunikasi, tetapi turut merangkumi kemahiran bersepadu berpaksikan kehendak media baharu, teknologi digital, pengetahuan animasi, penulisan, seni dan mengutamakan pemupukan bakat insan.

Semuanya ini dirangka bagi menjawab keperluan untuk mendamaikan antara tuntutan ilmu, kemahiran dan realiti bidang komunikasi yang pantas sekali berubah. Hari ini teknologi, esok teknologi tersebut sudah usang! Namun, ilmu tidak pernah sesekali usang dan gersang. – MalaysiaGazette

Mohd Shah Abdullah

Penulis, Mohd. Shah Abdullah kini Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Manipal International University, Nilai. Beliau boleh dihubungi melalui [email protected]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast