KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.3 peratus pada bulan Januari 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan dan 7.7 peratus dalam indeks elektrik.

Sementara itu, indeks perlombongan mencatatkan kemerosotan 5.1 peratus.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 1.2 peratus dipengaruhi oleh indeks pembuatan dan perlombongan.

Output sektor pPembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.8 peratus pada bulan Januari 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.4 peratus pada bulan Disember 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Januari 2022 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (14.4%), produk makanan, minuman & tembakau (6.7%) dan produk mineral bukan logam, logam
asas & produk logam yang direka (6.2%).

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (6.7%) dan industri berorientasikan domestik (7.0%).

Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal dan pembuatan kimia & produk kimia.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik didorong oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan.

Sektor Pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan menyusut 1.7 peratus berbanding Disember 2021 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik & eElektronik dan produk makanan, minuman & tembakau.

Output sektor perlombongan merosot 5.1 peratus pada bulan Januari 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Penurunan tersebut disebabkan oleh kejatuhan 13.9 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat.

Sementara itu, indeks gas asli tumbuh 1.6 peratus dan indeks perlombongan merekodkan penyusutan marginal 0.02 peratus
berbanding bulan yang lalu.

Output sektor elektrik berkembang 7.7 peratus pada bulan Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Pada masa yang sama, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik meningkat 1.6 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast