Dr. Patrick Khee dan Encik Hooi bertukar-tukar dokumen MoU selepas memeterai kerjasama dua hala MIU dan HEYA

DALAM usaha mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda khususnya siswa-siswi di institusi pengajian tinggi, Manipal International University (MIU) Nilai, Negeri Sembilan dengan kerjasama Higher Education Malaysia Education (HEYA) meneruskan kolaborasi dua hala untuk tempoh lima tahun ke depan melibatkan aspek latihan, pengukuhan kemahiran dan aktiviti keusahawanan.

“Pengukuhan dan pemugaran aspek bakat individu merupakan sesuatu yang sangat penting dan kritikal dalam tempoh pasca-Covid 19 ini,” kata Presiden HEYA, Ooi Tze Howe dalam ucapannya pada majlis memperbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MIU dan HEYA, di sini hari ini.

Kerjasama yang termeterai antara dua entiti berkenaan bermula pada Oktober 2019 diteruskan selepas mendapati pelbagai kegiatan bersifat akademik, latihan kepimpinan pelajar, keusahawanan dan inovasi menunjukkan sambutan dan pencapaian menggalakkan.

Perjanjian Persefahaman bertemakan “Developing Youth Talent and Future Leaders” itu ditandatangani Ooi bagi pihak HEYA manakala MIU diwakili Naib Canselor, Professor Dr Patrik Khee Peng Kong.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor MIU, Professor Dr. Arokiaraj Pappusamy; Dekan Sekolah Pengajian Pengurusan dan Perniagaan (SOMB), Prof. Dr. Indra Devi Kandasamy; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar MIU, Loh Siew Meng serta wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak termasuk pemimpin pelajar MIU.

Menurut Ooi, kerjasama pintar melibatkan MIU dan HEYA bertujuan mencungkil dan melahirkan lebih ramai pemimpin pelajar berbakat dan mapan dengan memiliki kemahiran keusahawanan.

Patrick bersama-sama wakil pelajar dan HEYA di hadapan pejabat Pusat Kemudahan Pelajar (MIUSE) yang terletak di kampus MIU Nilai

Katanya, melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti yang dirangka mampu mencetuskan transformasi bagi melahirkan lebih ramai generasi muda berbakat dan berkemahiran tinggi yang sangat diperlukan ketika ini.

Sementara itu, Prof. Dr. Patrick Khee dalam ucapannya memuji pendekatan HEYA mencungkil bakat baharu di kalangan siswa-siswi MIU melalui pelbagai aktiviti latihan meskipun dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan menganjurkan pelbagai program secara dalam talian.

Menurutnya, MIU yang bernaung di bawah entiti Manipal Group berpangkalan di Bangalore India beruntung kerana kumpulan pendidikan persendirian terbesar di India itu sangat berpengalaman melebihi 60 tahun kewujudannya.

Katanya, program akademik yang ditawarkan MIU pula menepati keperluan pasaran pekerjaan khususnya dalam sektor kejuruteraan elektrik yang mempunyai permintaan gunatenaga kerja yang tinggi.

Prof. Dr. Patrick Kee berkata, salah sebuah syarikat berteraskan kejuruteraan elektrik terbesar di Pulau Pinang baru-baru ini menawarkan kepada MIU untuk mewujudkan  sebuah makmal dan membuka peluang pekerjaan kepada lepasan bidang kejuruteraan MIU.

Dalam majlis itu juga, Prof. Dr. Patrick mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kemudahan Pelajar (MIUSE) di kampus MIU bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada pelajar menjalankan pelbagai aktiviti kokurikulum.

Turut dilancarkan ialah program INVALT 2022 yang merupakan program perdana HEYA bagi melatih dan mencungkil bakat muda di kalangan pemimpin pelajar. INVALT mensasarkan untuk melatih kira-kira 8,000 belia di tanah air untuk satu tempoh yang ditetapkan

Penulis, Mohd. Shah Abdullah adalah Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan.