Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan & Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2022.
Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan & Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2022.

PAGOH – “Kami tidak umum nama sesiapa jadi calon Menteri Besar.”

Itu respon Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dakwaan bahawa calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan diangkat sebagai calon menteri besar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, itu adalah fitnah yang ditabur menjelang pecutan terakhir gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

“Tidak betul, palsu. Saya ada beritahu bahawa kami tidak ada umum sesiapa, ini taktik orang jahat.

“Dengan niat untuk fitnah dan saya difitnah bahawa saya nak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi calon Perdana Menteri. Apa cerita itu dan kita terpaksa nafikan,” katanya dalam sidang media pada Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon PN bagi DUN Bukit Pasir, Muhd Nur Iqbal Abd Razak.

Awal hari ini, tular poster calon menteri besar bagi ketiga-tiga gabungan itu untuk PRN Johor.

Dalam poster itu, BN mengetengahkan calon DUN Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad sementara Pakatan Harapan (PH) mencalonkan calon DUN Layang-layang, Dr. Maszlee Malik.

PN mencalonkan bekas exco agaman negeri, Tosrin Jarvanthi sebagai calon menteri besar dalam paparan poster itu.

Justeru itu, Muhyiddin menasihatkan para pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka esok agar tidak termakan dengan fitnah murahan tersebut.

“Dalam tempoh zaman muktahir seperti ini merasakan tertekan sampai dia sanggup buat cerita bohong dan fitnah untuk mempengaruhi pengundi. Saya fikir berjaga-jaga dengan orang yang berniat jahat seperti ini supaya kita jangan terpengaruh.

“Saya fikir pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk hati yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu,” kata Muhyiddin lagi.

Ditanya mengenai hasil analisis beberapa penganalisis politik tanahair yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar, Muhyiddin berkata, perkara itu turut diramal akan berlaku kepada PN.

“Itu ramalan dan banyak ramalan bahawa PN menang. yang mana satu?” soal Ahli Parlimen Pagoh itu.

Pusat penyelidikan bebas, Ilham Centre hari ini mengeluarkan kenyataan BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 35 kerusi manakala PH selesa di 10 kerusi.

Baki lagi 11 kerusi pula tidak dapat dibaca kerana berlaku perebutan sengit untuk dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN), BN dan PH.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut yakin BN mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti dua pertiga pada 12 Mac ini bagi membentuk kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Habis tu sape calon MB PN? Hari Menteri Dalam Negeri kata nak buat pengumuman tp lepas tu diam jaaa? perangai mengencing PH ko ni tak berubah-ubah

Comments are closed.