Seorang nelayan menaiki bot untuk pulang ke kediaman ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Felcra Sungai Layau, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 MAC 2022.

PENAWAR – Esok rakyat Johor akan menunaikan tanggungjawab memberikan mandat kepada kerajaan baharu bagi membolehkan program pembangunan ekonomi dan kebajikan penduduk di negeri selatan tanah air dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Pelbagai lapisan rakyat telah didekati oleh calon-calon yang bertanding tanpa mengira parti dengan satu matlamat supaya nama yang dipangkah pada kertas undi kelak memihak kepada mereka.

MalaysiaGazette sempat meninjau pandangan masyarakat orang Asli di Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, untuk mendengar suara serta harapan mereka terhadap kerajaan yang bakal terbentuk esok.

Ab Rahman Adham bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu pemasalahan penduduk di sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 MAC 2022.

Ab Rahman Adam, 66, yang sudah menetap di Kampung Sungai Layau hampir 60 tahun berkongsi kepayahan yang terpaksa beliau tempuhi sewaktu mula-mula menetap di kampung tersebut sehingga ke hari ini.

Lebih dikenali sebagai ‘Pak Man’, dia meluahkan rasa terkilan kerana sering berhadapan kesukaran mendapatkan bantuan bagi menjalankan kerja-kerja harian yang diusahakannya.

“Pak Man tak minta banyak pun, saya cuma minta bantuan untuk kerja-kerja sendiri  sekadar alat-alat mesin seperti grinder, mesin ketuk tapi tak dapat.

“Sudahnya pakcik kumpul sendiri zink buruk, kayu-kayu buruk, pakcik buat lah sendiri, sampai sekarang teguh bengkel mata pencarian pakcik” katanya.

Pak Man turut memberitahu tentang ketiadaan lampu di jeti yang seringkali menjadi  masalah buat penduduk di situ antara lain menyebabkan kecurian enjin bot serta perkakasan nelayan kerana jeti tersebut gelap.

Penduduk, Ab Rahman Adham menunjukkan bot yang lama ketika ditemu bual bersama Malaysia Gazette berkenaan isu pemasalahan penduduk di sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 MAC 2022.

“Untuk duit anak-anak belanja makan, hantar anak-anak belajar tinggi Pak Man sanggup berikat perut,” katanya yang berjaya menyara tiga anaknya dengan pendapatan hasil laut. menggunakan bot usangnya.

Serik dengan keadaan itu, Pak Man sering terfikir tidak mahu mengundi lagi namun disebabkan tanggungjawab sebagai seorang rakyati, beliau mengundi juga.

Alzrique Hakimi

Alzrique Hakimi, 24, pula mengadu tentang masalah sistem perparitan di kampungnya sehingga menimbulkan kesulitan dalam kalangan penduduk.

“Tiap kali hujan walaupun tidak lebat akan banjir dan berlopak. Kita risau orang tua nak bergerak sebab licin takut mereka jatuh tergelincir, satu hal pula kalau dah terjatuh.

“Kalau tak nak buatkan longkang, sekurang-kurangnya beri peruntukan cukuplah, biar kami buat sendiri. Dah banyak kali kita bersuara pasal longkang tapi memang tiada perubahan, tiada tindakan pun” katanya.

Peniaga, Siti Zabedah Ghazali bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu pemasalahan penduduk di sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 MAC 2022.

Bagi Siti Zabedah Ghazali, 66, beliau terasa ‘dipinggirkan’ daripada bantuan kerana hampir 10 tahun membuka kedai sendiri, tiada satu pun bantuan yang beliau terima.

Menurut Siti Zabedah yang mempunyai kedai runcit, permintaannya tidaklah begitu besar sebaliknya  hanya bantuan perkakasan kedai seperti peti ais untuk menyimpan barang-barang sejuk dan almari bertingkat untuk meletakkan barang-barang jualannya.

“Makcik minta sikit saja, peti ais, almari tingkat pun tak dapat. Terpaksa buat semua benda sendiri, tiada orang pun pernah datang sebelum ni nak mendengar masalah makcik.

“Dah hampir 10 tahun makcik buka kedai ni memang tak dapat apa-apa bantuan.. Makcik ni sakit, ada sakit jantung, darah tinggi, dan masalah kolesterol, tu pun semuanya makcik keluarkan wang saku sendiri untuk makcik beli ubat.

“Makcik tak minta banyak pun, rajin-rajinkanlah ke kampung ambil tahu pasal keadaan orang- tua serta bantu anak-anak yang baru naik, mana yang tiada kerja, berilah mereka kerja,” rayunya.

Nelayan, Muhammad Shahnizam bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu pemasalahan penduduk di sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 MAC 2022.

Sementara itu, Muhammad Shahnizam Muhammad Padil, 30, juga meluahkan isi hatinya berkaitan nelayan di Kampung Felcra Sungai Layau itu.

Katanya, tahap keselamatan jeti membimbangkan malah ada nelayan mengalami kecederaan akibat terjatuh di situ.

“Belum masuk lagi bab lampu, kami ke laut seawal jam 5 atau 6 pagi memang gelap. Takutlah kalau ada ular, tergelincir. Kami pun nak pakai lama badan ini.

“Laluan masuk ke kampung pun gelap, kiri kanan kelapa sawit. Kalaudalam keadaan terdesak baru keluar, kalau tak ada apa-apa memang kami akan duduk dalam rumah saja sebab takut jalan gelap,” katanya. – MalaysiaGazette.