Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik yang gagal menamakan calon Menteri Besar (MB) Johor menjelang proses pengundian esok ternyata melakukan kesilapan besar dalam strategi masing-masing.

Ini kerana, kegagalan menamakan calon MB mengundang pelbagai spekulasi dan tanda tanya – bukan kepada seteru politik tetapi lebih utama dalam kalangan pengundi.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, menamakan atau mengumumkan nama calon pemimpin yang akan menggepalai sesebuah negara atau negeri dalam sesuatu pilihan raya amat penting bagi menunjukkan keseriusan parti yang bertanding untuk mahu mendapatkan mandat rakyat, sekali gus menjadi tonggak utama dalam pentadbiran sesebuah negeri.

“Di mana-mana negara pun, kalau ada pilihan raya mesti parti yang bertanding sudah ada calon pemimpin yang akan diangkat sebagai peneraju.

“Begitu juga sepatutnya berlaku di Johor apabila berlaku pilihan raya negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang juga salah seorang pengundi Johor berkata, sudah tentu rakyat tertanya-tanya siapakah yang menjadi calon MB jika sesuatu parti dipilih.

“Sebagai pengundi sudah tentu saya mahu tahu, kalau saya undi parti ini siapa calon MB dan kalau pilih parti itu siapa pula MB. Apatah lagi jawatan MB itu adalah individu yang akan mengemudi negeri ini.

“Dan, kalau ada parti politik yang tidak menamakan calon mereka, timbul pula soalan adalah mereka langsung tidak ada calon, kenapa tak calon, adalah tidak capai persetujuan antara dalam parti.

“Kalau begitu adakah parti berkenaan berkecamuk dan sebagainya. Sekiranya nama calon pun tak boleh diumumkan apa berlaku nanti selepas pilihan raya berakhir? Ia lebih rumit jika tiada calon,” tambah beliau.

Lantaran itu, Azmi menolak kemungkinan Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional yang masih tidak belum mengumumkan calon MB Johor kerana faktor ‘surprise’ (kejutan).

Jelasnya, mustahil wujud elemen kejutan kerana calon MB adalah perkara serius memandangkan individu itu juga bakal menjadi ikon kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast