Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai menyemak peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan semasa proses pengundian esok.- Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai menyemak peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan semasa proses pengundian esok.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, sebanyak 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dengan penglibatan seramai 49,290 orang petugas pilihan raya.

Dalam pada itu, pengundi dinasihati keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Selain itu, Ikmalrudin berkata, majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN Johor Ke-15 esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kesemua 239 calon parti yang bertanding pula diingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga pukul 11.59 minit malam, 11 Mac 2022.

Mana-mana pihak juga tidah boleh merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui semua saluran media sosial bermula 12 tengah malam ini.

Untuk rekod, seramai 2,539,606 orang pengundi bakal mengundi pada PRN Johor Ke-15 esok.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast