M
Maszlee Malik

JOHOR BAHRU –  Ahli  Parlimen Simpang Renggam mendakwa telah meminta peguam untuk membuat laporan polis  terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menutup pusat pengundian lebih awal hingga ada pengundi tak sempat melaksanakan tanggungjawab mereka.

Maszlee Malik yang juga calon Parti Keadilan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang Dr. Maszlee Malik berkata, kejadian sama berlaku di kawasan beliau.

“Kejadian yang sama berlaku di tiga tempat mengundi dalam DUN Layang-Layang.

“Peguam kami sedang menyediakan laporan polis dan akan membuat bantahan.

“Minta calon dan wakil calon di tempat lain turut mengambil tindakan yang sama,” katanya.

Tular di media sosial seorang wanita yang berang di hadapan sebuah pusat pengundian kerana tidak dapat masuk untuk mengundi.

Dalam video berdurasi 45 saat dan telah diedit tersebut kedengaran wanita berkenaan berkata, dia tidak pernah mendengar berita bahawa ada pusat mengundi akan ditutup sebelum pukul 5 petang.

“Ada berita tak? Cuma ditulis digalakkan tidak pernah ditulis pusat pengundi akan ditutup pukul 2.00.

“…Senarai sekolah yang akan ditutup pukul 5.00. Ada orang kerja sampai pukul 3.00 petang. Mereka cuci pinggan. Mereka tak tahu. Mereka tak ada telefon nak tengok. Bagaimana hak mereka sebagai pengundi?” katanya.

Untuk rekod,  SPR ada memaklumkan pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal.

Antara yang diwartakan adalah Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang.

Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.- MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast