MERSING – Seorang pengantin perempuan yang baru selesai melangsungkan mengadakan majlis persandingan dengan jejaka pilihannya mencuri tumpaun apabila hadir ke Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Kebangsaan Tenglu untuk mengundi pada saat akhir petang tadi.
Lebih menarik jurtera muda itu datang dengan ditemani suaminya yang juga seorang jurutera Nik Ahmad Faris Mohd Fauzi, 26, berbusana songket berwarna merah ke pusat mengundi jam 4.44 petang dengan menaiki kereta Perodua Viva.
Umi Zulaikha Husri, 25, berkata, walaupun tiba lewat tetapi dia tidak mahu terlepas mengundi.
”Kami sebenarnya sudah bernikah semalam dan sememangnya cukup teruja pada hari ini kerana kali pertama mengundi dalam pilihan raya hari ini dan kebetulan hari bahagia kami bersanding tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan SK Tenglu di sini.
Ditanya kenapa memilih untuk mengundi pada waktu akhir dengan masa berbaki sejam lagi, katanya, salah satu sebab adalah tidak mahu merosakkan inai cantik yang ada pada jarinya.
“Memang saya tak mahu inai pada jari terganggu dicelup dakwat. Lagipun sejak pagi lagi kami berdua sibuk dengan persiapan majlis persandingan dan juga sesi bergambar serta majlis makan kedua-dua keluarga dan sanak saudara di sini.
“Oleh demikian kami berbincang dan membuat keputusan untuk menyelesaikan majlis persandingan dan mengundi lewat petang ini,” katanya lagi.
Menurut Umi, petang ini adalah waktu sesuai memandangkan tidak ramai yang menyerbu pusat mengundi.
Berkongsi mengenai pengalaman mengundi kali pertama, jelasnya, dia sudah ada berpengalaman mengundi di majlis perwakilan pelajar (MPP) pada pilihan raya kampus dan ia memudahkan proses mengundi PRN kali ini.
“Itu dah tahu dah, zaman belajar pun pernah mengundi MPP semua itu dah belajar di kampu universiti jadi tak ada masalah memangkah undi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette