Abd Latiff menolak kerusi roda ibunya bersama bapa dan isteri beliau turun mengundi di SMK Mersing, pagi ini.

MERSING – Hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Tenggaroh pagi ini bermula dengan suasana tenang.

Sejak seawal 7.30 pagi, kebanyakan pengundi dalam kalangan warga emas hingga wanita sarat mengandung keluar menjadi pengundi terawal menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan baharu Johor.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional DUN Endau, Mohamad Youzaimi Yusof tiba di Sekolah Agama Mersing Kanan pada jam 8.02 pagi disusuli calon Perikatan Nasional (PN) dan juga penyandangnya Alwiyah Talib di Sekolah Kebangsaan Sawah Dato pada pukul 8.15 pagi tadi bersama empat anaknya.

Tepat jam 8.45 pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Mersing dari PN, Datuk Abd Latiff Ahmad turut hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing.

Beliau telah hadir bersama kedua ibu dan bapanya, masing-masing berusia 95 dan 85 tahun.

Latiff berkata, kedua ibu bapanya adalah pengundi tertua di PDM berkenaan.

”Kedua-dua mereka mengundi sejak tahun 1955 lagi,” katanya secara ringkas sebelum bergerak ke arah Saluran 1 PDM itu untuk mengundi.

Selain itu seorang wanita sarat mengandung, Rosidah Idros, 39, dari Kampung Lubuk di sini berkata, dia datang awal mengundi bagi memudahkan urusannya kerana perlu berniaga selepas mengundi.

“Saya keluar awal mengundi bersama suami sebab senang dan juga saya kena berniaga juga nanti.

“Walaupun sarat mengandung, para petugas kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan proses mengundi di saluran PDM sini banyak membantu dan memudahkan saya undi dengan cepat,” tambahnya.

Kemudian sekitar jam 10.45 pagi calon BN DUN Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy datang bersama isterinya ke Pusat Daerah Mengundi Sekolah Agama Pengkalan Batu Mersing untuk mengundi.

Secara keseluruhannya, proses mengundi PRN Johor yang bermula 8 pagi tadi di daerah Mersing berjalan tanpa sebarang masalah dan situasi terkawal.

Pemantauan MalaysiaGazette di ketiga tiga PDM berkenaan mendapati pita kuning larangan melintas oleh SPR dipasang pada jarak 50 meter dari pintu masuk ke PDM.

Setiap PDM berkenaan juga disediakan laluan khas untuk pesakit bergejala kontak rapat positif Covid-19 bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

Petugas kesihatan juga lebih berjaga jaga memastikan laluan pesakit Covid-19 sentiasa dikawal rapi mengelak didekati pengundi normal.

Setiap pesakit positif Covid-19 difahamkan disemak surat pengesahan ujian positif Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke saluran khas mengundi yang diasingkan khas untuk mereka.

Para anggota Polis dari Ibu Pejabat Daerah Mersing juga berkawal rapi untuk memastikan proses mengundi berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Lalu lintas di kawasan Mersing juga lancar kerana polis melakukan rondaan termasuk di beberapa di sepanjang pesisir pantai khususnya di Air Papan yang merupakan kerusi panas.

Mengikut data daftar pemilih induk (DPI) SPR yang diwartakan pada 21 Januari lalu menunjukkan seramai 66,332 pengundi di DUN Endau dan Tenggaroh layak mengundi hari ini.

Di DUN Endau menyaksikan persaingan sengit antara Youzaimi dan calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Akwiyah Talib.

Youzaimi selaku Ketua Umno Bahagian Mersing diturunkan oleh BN untuk merampas kerusi berkenaan daripada penyandangnya Alwiyah yang telah menyertai PN selepas menang atas tiket BN pada PRU14 lalu.

Alwiyah kali ini dikekalkan sebagai calon bertanding oleh Bersatu untuk penggal kedua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast