Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUT – Pemuda UMNO menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti besar adalah di luar jangkaan.

Paling manis lagi tentunya kemenangan semua lima calon Pemuda UMNO, Pemuda MCA (dua) dan Pemuda MIC (seorang), sekali gus membuktikan kepercayaan rakyat ke atas kemampuan pelapis pimpinan BN di masa hadapan.

Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kemenangan tersebut adalah manifestasi rakyat Johor yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil demi kelangsungan kehidupan dan kemajuan ekonomi negeri itu.

Namun, nasihat beliau, BN jangan sesekali lupa dan leka dengan kemenangan yang diberikan ini.

”Kita perlu mempersiap-siaga, memperkemaskan jentera dan terus menyantuni rakyat untuk memastikan BN menjadi pilihan utama rakyat pada PRU ke-15 nanti.

”Buat pemimpin-pemimpin anak muda Barisan Nasional di Negeri Johor, jagalah amanah yang diberikan dan jangan berhenti memberi khidmat yang terbaik buat rakyat di DUN masing-masing,” katanya.

Asyraf turut merakamkan terima kasih yang tidak terhingga buat semua pengundi-pengundi di Johor yang telah kembali memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN.

Penghargaan besar juga diberikan daripada Pemuda BN ke atas kepimpinan parti terutamanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Najib Razak yang berkerja keras membantu jentera parti sepanjang tempoh kempen meskipun ditohmah dan cuba diaibkan oleh pihak lawan.

”Saya juga ingin menzahirkan rasa terima kasih dan ucapan tahniah saya setulusnya buat seluruh jentera Barisan Nasional termasuklah jentera Wanita, Puteri, komponen MCA & MIC, Friends of BN dan khususnya jentera Pemuda Barisan Nasional dari seluruh negara yang telah berkampung berminggu lamanya, berkorban masa, keringat dan tenaga – demi memastikan BN menjadi pilihan rakyat di Negeri Johor.

”Yakin dan percayalah, komitmen, kerjasama, dedikasi dan kerja kuat kalian semua adalah faktor utama kejayaan BN pada hari ini. ‘Moga-moga Allah menetapkan kita semua pada jalan yang benar dan sentiasa beroleh keredhaanNya demi perjuangan membela rakyat dan membangunkan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat rindukan GST dah berharap 1mdb hidup kembali . Tipu menipu hulur menghulur dah jadi tradisi dalam masyarakat masa depan untok kemajuan yang tak dapat dielakkan . Nak hidup kena ikut perkembangan semasa halal haram kena letak tepi . Hidup lebih utama dari mati

Comments are closed.