MERSING – Biar pun 95 peratus pengundinya adalah orang Melayu, calon Barisan Nasional (BN) dari parti MIC, Raven Kumar Krishnasamy yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh tetap menang bergaya.
Malah beliau kekal sebagai wakil rakyat bagi penggal ketiga berturut-turut.
“Saya telah berkhidmat di DUN Tenggaroh selama dua penggal dan rakyat di sini memang telah kenal dan tahu cara saya bekerja, maka keyakinan untuk menang memang ada.
“Kekurangan majoriti undi bukan sebab pengundi tidak sokong saya sebaliknya peratusan yang keluar mengundi tidak seperti pilihanraya sebelum ini,” katanya ketika ditemui sejurus selepas diumumkan menang malam tadi.
Raven mencipta hatrik mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ketiga selepas memperoleh majoriti 1,356 undi menewaskan tiga lagi pesaingnya.
Pencabar dari Perikatan Nasional, Roslan Nik Mat atau dikenali sebagai Cikgu Lan pula memperoleh 9.172 undi diikuti calon PKR, Zulinah A. Johari mendapat 1,529 undi dan calon Pejuang, Mohd Firdaus Abd Rahman memperoleh 213 undi sahaja sekaligus hilang wang deposit.
Menurut Raven, untuk mengharapkan menang melalui undi kaum India memanglah mustahil kerana jumlah pengundinya tidak sampai 600 orang.
Namun katanya lagi, jumlah itu bukan menjadi pengukur kepada kemampuannya untuk memenangi hati pengundi Melayu khususnya mereka yang tinggal di kawasan Felda.
“Apa yang penting adalah tanggungjawab yang diamanahkan selepas menang mestilah dilaksanakan tanpa memilih warna kulit.
“Lagi pun DUN ini adalah kerusi tradisi untuk parti MIC sejak zaman mendiang ayah saya dan pengundi di sini memang telah selesa dan tahu latar belakang saya dan keluarga,” ujarnya.
Enggan mendabik dada, Raven memberitahu, BN akan selamanya menguasai DUN Tenggaroh walaupun bukan dirinya yang diletak sebagai calon lagi. – MalaysiaGazette