JOHOR BAHRU – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membawa harapan besar kepada rakyat di negeri ini.
Sudah tentu kemajuan ekonomi, fokus kepada masyarakat luar bandar, pendidikan termasuk pembangunan antara yang dimahukan oleh Bangsa Johor.
Mohd Ali Sarno, 72, umpamanya mengharapkan setelah rakyat memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri, janji manifesto Ikhtiar BN perlu ditunaikan seperti dijanjikan.
Jelas beliau, kemarahan rakyat sebelum ini boleh dibendung jika kerajaan baharu ini menunaikan janji mereka.
“Saya mengharapkan kerajaan menumpukan usaha buat jalan,kesihatan, pendidikan dan saya percaya jika kerajaan tunaikan rakyat tidak akan berasa marah kerana kepuasan rakyat ditunaikan.
“Jadi, saya memang mengharapkan sangat tunaikanlah janji,apa pun bentuklah kerajaan yang kami beri dengan sempurna dan iklas,” katanya.
Mohamad Haryaf Dugal, 68, pula menyifatkan masih banyak kekurangan pembangunan di Johor yang harus diberi tumpuan untuk menjadikan negeri itu lebih maju.
Rakyat hari ini, jelas beliau, tidak lagi mahu mendengar cerita politik sebaliknya menunggu janji yang sedang dibuat dan harus dilaksanakan.
“Sepertinya yang saya sebagai rakyat mahukan seperti klinik kesihatan dibesarkan, lagi satu jalan raya banyak lagi yang kita nak perbaiki iaitu sistem lalu lintas. Kalau jalan tidak elok, negeri juga tidak stabil kemajuan juga mengikut kelembapan itulah.
“Kalau kita lihat kawasan luar bandar banyak lagi kekurangan,sama ada jalan. Mohonla kerajaan baharu ini menstabilkan semua sekali,” katanya.
Bagi peniaga Zurihan Yusop, 58, walaupun gembira dengan kemenangan besar BN, harapannya juga sama seperti Bangsa Johor lain yang ingin kerajaan menunaikan janji.
Sebagai rakyat, dia memberi kepercayaan tinggi kepada kerajaan yang telah terbentuk semalam agar merealisasikan impian Bangsa Johor supaya lebih terbela.
Bagaimanapun beliau yakin kerajaan akan mengotakan 5 Ikhtiar yang ditawarkan kepada rakyat.
“Ini semua akan menjadikan elemen utama seperti pembangunan ekonomi, pembangunan pendidikan, pembangunan sosial masyarakat akan dapat direalisasikan.
“Saya rasa seluruh rakyat Johor amat mengharapkan selepas ini Johor akan stabil dan mudah-mudahan rakyat Johor menerima kesan sangat positif,” katanya.
BN semalam meraih kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRN Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan keputusan rasmi berkata, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.-MalaysiaGazette