KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terus digesa meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) one-off sebanyak RM10,000.
Presiden ProRakyat, Khairul Anuar Othman berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak akan berputus asa untuk terus menggesa kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP buat kali terakhir.
“Dengarlah rintihan pencarum-pencarum KWSP yang ramai menderita di saat ini. Setiap hari dan waktu kami mendengar rintihan, keluhan kepayahan kesusahan ramai pencarum di sana yang mohon supaya tuntutan ini diluluskan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai penyerahan memorandum tuntutan pengeluaran wang KWSP kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil Kementerian Kewangan.
Turut hadir Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi.
Sementara itu, salah seorang individu yang hadir pada sidang media itu, Mohd Farhan Jailani berkata, berdasarkan Seksyen Akta KWSP 1991, wang berkenaan wajar dikeluarkan demi kegunaan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Kami mendesak Perdana Menteri meluluskan tuntutan kami ini dan seterusnya kami dengan tegasnya sebagai pencarum yang terkesan ingin menuntut hak kami menurut Akta KWSP 1991 Seksyen 54, kami sekali lagi menegaskan tidak akan berhenti sehingga wang tersebut berada di akaun bank kami,” ujarnya.
Farhan turut mendesak 222 Ahli Parlimen menyokong tuntutan berkenaan yang senada dengan keperluan rakyat.
“Kami menuntut sokongan semua Ahli Parlimen untuk menyokong tuntutan pengeluaran KWSP. Kami juga mengingatkan semua Ahli Parlimen yang dilantik melalui proses undang-undang yang sah dan yang sedang berada dalam Dewan Rakyat supaya berkhidmat untuk rakyat, mendengar keluhan rakyat yang telah memilih mereka menerusi pilihan raya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette