LAHAD DATU – Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan manakala dua parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 30 Jalan Sandakan-Lahad Datu, berhampiran Ladang Mensuli di sini pagi tadi.
Identiti tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Isyam Samsudin, Masniati Yusuf dan kanak-kanak perempuan Ainul Mardhiah Abdullah, yang usia serta hubungan mereka masih belum diketahui.
Ketiga-tiga mangsa menaiki kereta Perodua Bezza bersama seorang mangsa yang cedera parah, Nur Wafa Izzayani Samsudin, 16, manakala seorang lagi yang parah merupakan pemandu Toyota Land Cruiser iaitu lelaki berusia 50 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Samsoa Rashid ketika dihubungi pemberita berkata lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 9.04 pagi.
“Setibanya di lokasi, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan sudah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut ,” katanya.
Samsoa berkata pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan kemalangan dan membuat pemeriksaan keselamatan sebelum operasi ditamatkan pada 12 tengah hari. – BERNAMA