Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz semasa hadir ke SPRM bagi membuat laporan terhadap hakim Nazlan Ghazali yang didakwa menerima sogokan 1MDB dalam transaksi Tanjung Energy Group dan mendapat imbuhan kenaikan pangkat setelah menjatuhkan hukuman bersalah kepada Datuk Seri Najib Razak ketika di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan tentang hasil siasatan yang dilakukan terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, sehingga kini pihak polis masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa itu ke atas suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Seharusnya PDRM memberitahu apa hasil siasatan bukan kenyataan berdasarkan Singapura, kena nyatakan penglibatan Dr Tawfiq Ayman, Tan Sri Nor (Mohamed) Yakcop dan Tan Sri Zeti.

“Saya mohon kalau PDRM berlapang dada saya mohon beri kenyataan akhbar,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan, polis telah selesai melakukan siasatan terhadap Tawfiq berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata,  pihaknya diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan dokumen berkaitan transaksi dijalankan melalui beberapa institusi kewangan di Singapura dan keterangan saksi di republik itu.

Jelasnya, kertas siasatan yang lengkap sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara, sejak tahun lalu.

Sementara itu, Syed Muhammad Imran berkata, hasil siasatan itu sepatutnya diumumkan.

“Kes Dr Tawfiq Ayman serta serta isterinya, bekas Gabenor Negara masih lagi pending (tertangguh) sedangkan ramai sudah tahu hasil siasatan dan diserahkan kepada pendakwa raya.

“Tetapi sehingga sekarang pihak PDRM masih membisu tidak memberikan sebarang kenyataan akhbar atau media,” tambah beliau. – MalaysiaGazette