KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengulangi gesaannya kepada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya tampil membuat laporan polis berhubung dakwaannya wujud kartel dalam organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang campur tangan dalam urusan pertukaran, pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, sekiranya Abdul Hamid berdiam diri, sebaliknya telah membuat kenyataan umum mengenai isu itu, ia boleh menjejaskan nama baik PDRM dan anggota polis yang tidak tahu menahu mengenai dakwaan berkenaan.
Katanya, sikap berdiam diri beliau juga telah dijadikan isu oleh pembangkang dan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak melakukan siasatan berhubung campur tangan kartel tersebut.
“Dakwaan terdapat kartel yang mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.
“PDRM telah membantu dengan memberi keterangan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan berkenaan.
“Malah, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM,” katanya menggulung perbahasan menjunjung Titah Diraja di Parlimen petang ini.
Menurut Jonathan, EAIC telah menjelaskan bahawa mekanisma pelantikan kenaikan pangkat dan penukaran diamalkan PDRM dan SPP membabitkan proses yang teliti melalui beberapa peringkat laporan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar.
Katanya, Ketua Polis Negara adalah ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan kenaikan pangkat atau pertukaran pegawai kanan perlu mendapat perlu mendapat persetujuan KPN.
“Sebenarnya kerajaan amat serius bila bercakap mengenai sama ada wujud kartel atau tidak, itu adalah satu dakwaan yang sangat negatif dan boleh menjejaskan seluruh nama baik kementerian dan juga agensi di bawah KDN.
“KDN juga sangat mengambil berat perkara ini dan benar-benar mahu supaya perkara ini dapat dirungkai adakah benar adanya kartel yang didakwa.
“Setakat ini, kita tidak dapat bukti yang jelas mengenai perkara ini. Bahkan, EAIC sendiri telah memberikan jawapan dan pendirian mereka setelah meneliti semua proses undang-undang yang ada untuk melihat bagaimana pelantikan dibuat, kenaikan pangkat dibuat dan pertukaran dibuat.
“Jika Ahli Parlimen Bukit Gelugor mempunyai bukti yang jelas, boleh kemukakan kepada KDN. Kalau dia dakwa Hamid yang dedah, ada baiknya bekas IGP ini membuat laporan dan berikan semua data yang beliau katakan itu,” katanya.
Sebab, katanya, KDN melihat kenyataan Abdul Hamid dibuat ketika beliau hampir bersara dan kenapa tidak diambil tindakan beliau baru menjawat jawatan sebagai KPN.
“Tetapi, di akhir beliau mahu letak jawatan baru mendakwa dengan dakwaan yang umum. Kita tahu dakwaan umum itu sebenarnya tidak berapa baik kerana itu akan menjejaskan semua nama anggota polis,” katanya. – MalaysiaGazette