KUALA LUMPUR – Eksport getah asli negara berjumlah 51,158 tan metrik pada Januari 2022 meningkat 11.3 peratus berbanding Disember 2021 (45,982 tan metrik) dengan China terus mendominasi pengimport tertinggi getah asli iaitu 37.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2022.
Ia diikuti Amerika Syarikat (7.0%), Finland (3.8%), Jerman (3.3%) dan Iran (3.2%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 billion pada Januari 2022, menurun 7.6 peratus berbanding Disember 2021 (RM2.3 billion).
Negara menyaksikan peningkatan pengeluaran getah asli 17.7 peratus pada tempoh sama
(49,087 tan metrik) berbanding pada bulan Disember 2021 (41,690 tan metrik), disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.1%) berbanding sektor estet (10.9%).
Ia merupakan peningkatan 7.3 peratus (Januari 2021: 45,735 tan metrik).
Jumlah stok getah asli meningkat 8.7 peratus pada Januari 2022 kepada 310,052 tan metrik berbanding 285,245 tan metrik pada Disember 2021.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.6%) dan estet getah (0.1%).
Analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan 6.0 peratus (Januari 2022: 572.08 sen sekilogram, Disember 2021: 539.45 sen sekilogram) dan sekerap 3.2 peratus (Januari 2022: 603.05 sen sekilogram, Disember 2021: 548.07 sen sekilogram).
Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang meningkat antara 2.9 hingga 6.0 peratus.
Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh Data Harga Komoditi Bank Dunia turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 3.3 peratus (daripada AS$1.72/kg kepada AS$1.78/kg) dan 2.7 peratus (daripada
AS$1.92/kg kepada AS$1.97/kg).
Malaysian Rubber Board Digest melaporkan pemulihan dalam pasaran getah didorong oleh galakan aktiviti perkilangan global dan amaran tegas pasaran niaga hadapan getah serantau ke atas bargain-hunting activities.
Dalam masa yang sama, kekurangan bekalan getah asli di peringkat global, lonjakan harga minyak
mentah dan ringgit Malaysia kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette