Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) selepas prosiding permohonan oleh pasukannya untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC International.

PUTRAJAYA – Hakim yang mendengar dan menjatuhkan hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd mempunyai konflik kepentingan kerana memainkan peranan dalam pinjaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mantan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan didakwa pernah terlibat sebagai penasihat undang-undang kepada kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) dalam pinjaman 1MDB bagi pemerolehan pengeluar tenaga bebas, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong) pada 2012.

Hakim yang sama juga telah mengadili Najib dalam kes penyewelengan SRC International selain menjatuhkan hukuman terhadap Ahli Parlimen Pekan itu pada Julai 2020.

Menurut peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selain menjadi ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank, Mohd Nazlan juga setiausaha syarikat kepada kumpulan itu.

Berikutan itu, Muhammad Shafee berkata, Mohd Nazlan sepatutnya menarik diri pada awal kes berikutan telah hilang kelayakan kerana beliau akan menjadi saksi penting dalam perbicaraan 1MDB.

“Jika pendakwaan tidak panggil Mohd Nazlan dalam perbicaraan 1MDB, kami pembelaan akan panggil.

“Ada lebih RM4 bilion pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (Lembaga Pengarah Maybank). Untuk makluman, salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapatkan arahan adalah Mohd Nazlan ketika itu.

“Beliau telah meneliti segala proses bagi pinjaman lebih RM4 bilion itu dan pastinya memberikan pandangan apabila 1MDB gagal membayar tersebut,” katanya di lobi Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas prosiding permohonan oleh pasukannya untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC International membabitkan dakwaan bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap Najib.

– Lagi menyusul