Dua wanita warga asing tawar khidmat seks ditahan menerusi serbuan OP Noda. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Dua wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik rumah persendirian menerusi serbuan Op Noda di Sentul semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, sepasukan anggota dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menyerbu sarang pelacuran itu sekitar pukul 10.55 malam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati modus operandi kegiatan ini adalah dengan berselindung di sebalik rumah persendirian dan dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu.

“Hasil tangkapan yang dilakukan oleh polis turut merampas wang tunai RM170, dua helai tuala mandi, dua buah telefon bimbit, kondom, minyak urut serta minyak pelincir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 itu kini ditahan bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalah guna permit kerja.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette